PAS tidak menolak kemungkinan isu skandal di atas ranjang yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, adalah sebahagian daripada strategi mengalihkan perhatian rakyat.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata antara isu yang sedang diperhatikan rakyat ialah keadaan semasa ekonomi.
Tidak terkecuali, katanya, kemelut pertelingkatan dalaman parti politik dalam PH. Beliau bagaimanapun dilaporkan tidak menamakan parti tersebut secara khusus.
Tuan Ibrahim berkata ada kemungkin apa penyebaran klip video lucah adalah helah pihak tertentu untuk mengalih perhatian orang ramai.
"Mungkin apa yang berlaku ini adalah strategi untuk melarikan diri atau mengalihkan perhatian (iaitu dengan) mewujudkan hal lain untuk menutup hal perkara lain," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.
Justeru Tuan Ibrahim menasihati orang ramai agar "tidak terperangkap" dengan perkembangan berkenaan kerana ia hanya cubaan mengalih perhatian orang ramai daripada keadaan semasa.
"Kita jangan terperangkap dengan apa yang berlaku," katanya.
Beliau yang juga anggota parlimen Kubang Kerian di Kelantan menambah, penyebaran klip video hubungan cinta sejenis itu adalah kaedah untuk mengalihkan isu atau menjadi agenda pihak-pihak tertentu.
Baca Azmin tak perlu digesa bercuti, kata Anwar
Sejak beberapa hari lalu tersebar klip video memaparkan dua lelaki sedang berasmara di atas katil dengan salah satu daripadanya kelihatan seperti Azmin.
Pada 12 Jun lalu Ketua Pemuda PKR Santubong, Sarawak, Haziq Abdullah Abdul Aziz, tampil secara terbuka mengakui salah seorang daripada lelaki tersebut adalah dirinya.
Dia kemudian mendakwa pasangan yang ada di atas ranjang itu ialah Azmin - tuduhan yang disangkal oleh menteri terbabit.
Tundukkan kepada tengah ribut
Haziq yang juga setiausaha sulit kanan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, sudah ditahan polis bagi membantu siasatan kes itu petang semalam.
Tuan Ibrahim pada masa sama meminta Azmin banyak bersabar menghadapi dakwaan tersebut dan tidak lupa mendekatkan diri kepada Allah.
"Bersabarlah dan dekatkan diri kepada Allah.
"Tuhan minta kita sabar apabila berdepan dengan situasi fitnah," katanya.
Beliau juga memetik kata-kata pernah dinyatakan bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kata Tuan Ibrahim, Nik Aziz menasihati agar bersabar semasa dilanda ujian kerana keadaan tidak akan banyak berubah jika ia tidak ditangani dengan betul.
"Allahyarham Nik Aziz Nik Mat juga pernah sebut, kalau ribut tengah kuat, tundukkan kepala; kalau sebarang jawapan dibuat ketika 'ribut' kuat, orang takkan terima, jawablah macam mana cara sekalipun.
"Kita kena tenang. Sama juga dalam kes ini - kena sabar, dekatkan diri dengan Allah SWT," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.