Monday, June 24, 2019

Mahkamah diberitahu RM304 juta dari Kementerian Kewangan Saudi, kata Najib

FMT Reporters
-June 24, 2019 12:15 AM


PETALING JAYA:  Najib Razak hari ini mempersoalkan langkah Pakatan Harapan mendesak Umno dibubarkan atas alasan ia menerima RM212 juta daripadanya yang didakwa gabungan parti pemerintah itu sebagai dana 1MDB.

Bekas perdana menteri itu berkata, 2 bulan lalu, seorang pegawai bank memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International — bekas anak syarikat 1MDB — mengesahkan kepada mahkamah yang beliau menerima dana itu daripada seorang kerabat diraja dan kerajaan Arab Saudi.

Najib berkata, ia termasuk sekurang-kurangnya RM304 juta dari Kementerian Kewangan Saudi, yang dipindahkan secara terus ke akaun banknya.

Bekas presiden Umno itu berkata, Bank Negara juga tahu mengenai transaksi itu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau turut memuat naik dokumen berkaitan yang mengesahkan bayaran daripada Kementerian Kewangan Saudi ke media sosial.

“Setahu saya, RM304 juta adalah lebih banyak daripada RM212 juta yang dibayar kepada Umno.

“RM304 juta juga lebih besar dari jumlah RM270 juta yang SPRM mahu tuntut dari 41 entiti (termasuk Umno) itu,” tulisnya di Facebook pada Ahad.

Reaksi Najib itu menyusul kenyataan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilaporkan berkata, Pemuda PH akan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengambil tindakan terhadap Umno yang menerima dana daripada 1MDB.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan ia memfailkan permohonan pelucuthakan sivil mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 untuk mendapatkan semula RM270 juta dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun Najib dan kemudian kepada 41 individu serta entiti.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya dilaporkan berkata, penerima terbesar wang itu ialah beberapa negeri dan bahagian Umno yang berjumlah RM212 juta.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-