Tuesday, June 25, 2019

Pas tidak patut guna perkataan provokatif ‘wajib’ jatuhkan PH, kata Dr Hatta

MALAYSIADATELINE
June 25, 2019 7:22 pm

Sebagai parti mamperjuangkan Islam, pemimpin Pas tidak sepatutnya menggunakan perkataan “wajib” dalam usahanya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, kata Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Hatta Md Ramli.

Katanya, perkataan “wajib” mempunyai pelbagai tafsiran yang dibimbangi akan menjejaskan hubungan antara kaum di Malaysia.

“Penggunaan perkataan provokatif dan keras, saya rasa dalam konsep politik matang yang mereka perjuangkan tidak sesuai.

“Betullah sebagai parti pembangkang, apa lagi agenda politiknya melainkan mendapat kuasa, tapi dalam konteks mereka, parti yang memperjuangkan Islam, perkataan ‘wajib’ itu menimbulkan pelbagai interpretasi.

“Saya harap perkara ini tidak menambahkan semak politik negara kita sehingga boleh menjejaskan perpaduan kaum,” katanya selepas menghadiri Forum Ketua Pegawai Eksekutif SME di Kuala Lumpur hari ini seperti dipetik FMT.

Ahad lalu, Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu wajib menjatuhkan kerajaan PH.

“Pas berdepan dengan PH, hukumnya wajib menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika ini, hukumnya wajib. Perkara ini kita jangan khilaf. Kita bergerak ke depan dan jangan banyak toleh ke belakang,” katanya pada ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-65 di Kuantan, kelmarin.

Hari ini, Hatta mengingatkan pimpinan PH supaya tidak terlalu selesa berada di Putrajaya, sebaliknya mereka perlu mencari jalan menyelesaikan isu dibangkitkan pembangkang, termasuk menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum tahun lalu.

“Kita kena cari jalan untuk baiki, menyelesaikan semua janji yang kita buat. Saya yakin dalam tempoh diperuntukkan kepada kita, penggal pertama ini apa juga yang dijanjikan boleh dilaksanakan.”

Mengenai kerjasama politik Umno-PAS, Hatta berkata, gabungan parti politik perlu mendapatkan sokongan semua kaum untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya.”

“Nak perintah Malaysia kena laksanakan politik inklusif melibatkan semua kaum, tidak boleh fokus satu kaum,” katanya yang menafikan kerjasama Umno-PAS akan memberi kesan kepada PH untuk kekal di Putrajaya.

Berita penuh
https://malaysiadateline.com/pas-tidak-patut-guna-perkataan-provokatif-wajib-jatuhkan-ph-kata-dr-hatta/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-