Tuesday, June 25, 2019

UMNO-Pas rancang perhimpunan ummah terbesar

Zulkifli Jalil
25 Jun 2019 6:53 PM

DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR - UMNO merancang mengadakan satu perhimpunan bersama Pas yang khalayaknya lebih besar daripada Himpunan anti-ICERD 8 Disember tahun lalu di Dataran Merdeka tidak lama lagi, serentak dengan pelancaran piagam kerjasama kedua-dua parti Melayu terbesar itu.

Pengerusi penganjur perhimpunan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia bukan sekadar himpunan biasa disertai ahli-ahli UMNO dan Pas, malah suatu kebangkitan ummah melibatkan seluruh umat Islam Melayu dan bumiputera di negara ini.

“Perhimpunan ini akan menjadi satu event terbesar kebangkitan ummah dan kita juga mengalu-alukan kehadiran golongan bukan Melayu dalam program pelancaran piagam kerjasama UMNO-Pas ini.

“Ia kerana ia merupakan suatu perkembangan positif dalam erti kata ia menjurus kepada perpaduan dan kesatuan jitu rakyat terutama daripada kelompok majoriti penduduk terbesar negara ini.

“Perpaduan yang dijana dari kumpulan kaum terbesar ini penting bagi mencapai kestabilan, keamanan dan ketenteraman di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu kepada Utusan Online hari ini.

Perhimpunan raksasa #DaulatHimpunan812 di Dataran Merdeka pada 8 Disember tahun lepas mencipta rekod mengumpulkan orang Melayu dalam jumlah terbesar dalam sejarah moden yang dianggarkan mencecah 300,000 orang.

Orang ramai yang datang dari segenap pelosok negara tanpa mengira ideologi politik dan dialek bahasa - yang antara tujuannya menentang usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)- berhimpun di beberapa kawasan di ibu kota sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Himpunan tersebut yang mendapat liputan media antarabangsa juga menyaksikan semangat kalangan orang Melayu yang tinggi dalam mempertahankan hak mereka sehinggakan ada yang hadir secara berkonvoi motosikal dan berbasikal. 

-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-