Tuesday, June 18, 2019

Tak ambil tindakan pada Haziq cemar nama PKR, kata penasihat Azmin

News | Diterbitkan Hari ini 4:53 petang 


Khalid Jaafar yang merupakan penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengkritik PKR kerana tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Menurut Khalid, perkara itu mencemarkan nama PKR dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

"Kealpaan ini akan dilihat sebagai kegagalan kepemimpinan dalam PKR, khususnya presiden PKR (Anwar Ibrahim)," katanya melalui kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Khalid merujuk kontroversi pengakuan Haziq berhubung klip video lucah serta dakwaannya bahawa Azmin merupakan individu yang bersamanya dalam rakaman itu.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Ahad lalu, Anwar dipetik sebagai berkata bahawa PKR akan menunggu siasatan polis terlebih dahulu dan tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru untuk menghukum Haziq.

Mengulas lanjut, Khalid berkata Haziq bukan membuat pengakuan sebagai mangsa.

Sebaliknya, kata Khalid, Haziq dengan bangga membuat pengakuan melakukan seks luar tabi’i.

"Bukan sahaja apa yang beliau lakukan dilihat amat jijik oleh masyarakat Melayu dan Islam. Perbuatan itu juga satu jenayah," katanya.

Dalam kenyataan sama, Khalid turut menafikan kenyataan Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin yang menyatakan bahawa Haziq pernah menjadi pelatih Azmin.

"Ini fakta yang salah. Haziq tidak pernah menjadi intern (pelatih) kepada Azmin," katanya.

Jelas Khalid, ketika menjadi Ketua Pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat Menteri Besar, Azmin menolak cadangannya untuk mengambil Haziq sebagai pelatih.

Susulan itu, kata Khalid dia menawarkan Haziq untuk menjadi pelatih di bawah pengawasannya di Pejabat Menteri Besar, dan bukan bawah Azmin.

"(Tapi) Haziq menolak pelawaan saya.

"Saya dimaklumkan penolakan Azmin menyebabkan Haziq amat kecewa dan marah dengan Azmin.

"Dia (Haziq) kelihatan menyeberang sempadan politik dengan memaparkan gambar-gambar bersama tokoh-tokoh BN seperti Ketua Menteri Sarawak, menteri-menteri kabinet seperti Nancy Shukri di laman media sosialnya.

"Ketika itu saya mula berpendapat Haziq lebih merupakan anak muda glamour freak (gila populariti)," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-