Wednesday, July 10, 2019

Lantikan Najib mungkin tanda kembalinya ‘warlord’, kata Ku Li

Nur Hasliza Mohd Salleh
-July 10, 2019 6:54 PM

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Najib Razak masih mempunyai pengaruh dan BN mungkin boleh menggunakan pengalamannya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya ketika ini.

KUALA LUMPUR: Pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional mungkin petanda kembalinya “warlord” dalam gabungan itu, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, ia mungkin hanya sementara.

“Mungkin (warlord sedang bangkit). Saya rasa ini hanya sementara dan kami mungkin akan diuji dengan nasihat apa yang kami akan terima.

“Lagipun, Umno bukan milik ahli saja, tetapi juga masyarakat. Ia sama dengan BN, pemimpin datang dan pergi,” katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Li di lobi Parlimen hari ini.

Malam tadi, BN melantik Najib untuk membantu gabungan itu mendapatkan semula sokongan rakyat.

Ku Li turut menyambut baik pelantikan Najib itu kerana sesiapa saja berhak menghidupkan semula parti itu yang mengalami kekalahan mengejut pada pilihan raya umum tahun lalu.

“Dia bukan buat ‘come back’.

“Dia semakin aktif dan tiada yang salah dengannya (kembali aktif).”

Ditanya jika pelantikan itu akan menjadi liabiliti kepada Umno kerana kes Najib sedang dibicarakan di mahkamah, ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, Najib masih mempunyai pengaruhnya dalam kalangan rakyat.

“Semua boleh beri pandangan kerana pandangan sangat bernilai dan berharga dan ia perlu diguna sebaik mungkin untuk mulakan parti kita.

“Saya rasa kami boleh mendapatkan sedikit pengalamannya untuk mengatasi masalah yang kami hadapi hari ini.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-