Sunday, July 14, 2019

Piagam politik UMNO-PAS dimuktamadkan Selasa ini

Oleh Amir Mamat
bhnews@bh.com.my

Mohamad (tengah) diiringi Ab Rauf bergambar bersama perwakilan pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jasin di Dewan Bistari, Ayer Keroh. 
- NSTP/Amir Mamat

AYER KEROH:  Piagam kerjasama politik parti pembangkang, UMNO-PAS akan dimuktamadkan Selasa ini, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kepemimpinan kedua-dua parti akan mengadakan pertemuan akhir bagi memperhalusi kaedah kerjasama yang bakal dilaksanakan kelak.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu tarikh akan ditetapkan bagi membolehkan piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“UMNO akan teruskan kerjasama politik ini, disusuli dengan perjanjian politik yang akan ditandatangani nanti.

“UMNO akan bersama PAS selain MCA dan MIC untuk berjuang merampas semula kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jasin di Dewan Bistari, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman.

Kerjasama UMNO dan PAS bakal diperkukuhkan lagi dengan bentuk yang lebih rasmi selepas memeterai satu piagam kerjasama, tidak lama lagi.

Untuk rekod, UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama secara terbuka khususnya dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sebarang keputusan yang dibincangkan oleh jawatankuasa induk dan teknikal Piagam UMNO-PAS hanya boleh dimuktamadkan oleh presiden kedua-dua parti berkenaan.

Langkah terbabit bagi memastikan proses ta’awun siyasi (kerjasama politik) dapat diteruskan kepada peringkat tahaluf siyasi (perjanjian politik).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-