Sunday, July 14, 2019

Nazri: Najib sebenarnya minta jadi pengerusi BN, bukan penasihat

News | Diterbitkan Hari ini 1:43 tengahari 


Anggota Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata Najib Razak meminta untuk menjadi pengerusi BN semula dan bukannya pengerusi lembaga penasihat BN.

Nazri mendakwa, bekas presiden Umno itu mahu mengambil kesempatan apabila menyedari BN boleh menang kembali hasil kerjasama dua parti berkenaan.

"Saya tahu jawatan yang dipohon sebenarnya pengerusi BN, bukan pengerusi lembaga penasihat (BN), bila dia (Najib) lihat masa depan kita cerah dengan PAS.

"Mahu jadi PM (perdana menteri) lagi ke? Bagilah peluang kepada anak-anak muda, pimpinan baru, cukuplah," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Ucapan Nazri itu disiarkan secara langsung di media sosial Facebook.

Nazri dan Khairy masing-masing sebelum ini dilihat tidak senang dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN.

Khairy mengakui bahawa dia tidak gembira dengan pelantikan Najib, semantara Nazri menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang.

Dalam ucapannya hari ini, Nazri mengaku bahawa dia terkejut apabila mengetahui jawatan itu diwujudkan dan seterusnya diberikan kepada Najib.

"Jangan silap, saya, dan saya percaya juga Khairy, kita tak cakap dengan nada tinggi dan marah terhadap apa yang dicadangkan.

"Kita hanya menunjukkan reaksi kita yang sebenar, yang kita tak boleh sembunyikan. Saya memang tidak gembira," katanya.

Susulan itu, kata Nazri, ramai pihak yang marah kepadanya.

"Kerana budaya Umno ini masih lagi tidak sedar, masih lagi dengan sistem malu alah, mungkin termakan budi begitu banyak sekali dengan mantan presiden kita (Najib), sehingga tidak dapat membuat kesimpulan bahawa cadangan itu tidak baik," katanya.

Tambah Nazri, kerjasama PAS dan Umno yang ada hari ini dipelopori oleh pemimpin parti itu ketika ini, dan bukannya ketika Najib menjadi presiden parti.

"Pada peringkat permulaan, (dimulakan) Zahid Hamidi. Kemudian dia berehat, (diteruskan) Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

"Tiba-tiba apabila menampakkan satu kejayaan yang membanggakan, dan kita boleh nampak satu masa nanti pada pilihan raya akan datang kita boleh menang, tiba-tiba timbul cadangan (melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN) ini," katanya.

[Berita lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-