Sunday, July 14, 2019

'Kita serah kepada SPRM sahaja' - Anwar

Fairuz Zaidn
fairuzaidan@nstp.com.my
MyMetro

ANWAR (kanan) mengadakan sidang media selepas merasmikan Pejabat Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Negeri Melaka.
 FOTO Rasul Azli Samad

PKR menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan seorang EXCO kerajaan Perak yang didakwa terbabit dalam amalan rasuah serta salah laku.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun, menegaskan sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai perkara itu, termasuk daripada pihak yang melaporkan perkara itu dan EXCO yang didakwa terbabit.

“Kita serah kepada SPRM sahaja. Dia ada dua isu, iaitu tuduhan rasuah dan kebocoran minit mesyuarat (Majlis Mesyuarat Kerajaan), jadi kita serah kepada siasatan.

“Bagaimanapun, saya belum ada apa-apa maklumat rasmi sama ada daripada yang melaporkan dan daripada YB (Yang Berhormat) Yunus (Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari) sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka di Pusat Perniagaan Gangsa, Durian Tunggal di Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PKR Melaka, Halim Bachik dan Timbalan Pengerusi PKR Melaka, Gue Teck.

Semalam, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean membuat laporan polis berhubung seorang ahli Exco Perak yang didakwa membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Yong Kean mendakwa perkara itu dilakukan Exco berkenaan bagi mendapatkan komisen dan habuan daripada syarikat pertanian.

Sementara itu, Anwar turut mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berhubung dakwaan ada ahli parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan didakwa menjadi dalang pembikinan dan penyebaran video seks bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Muhamad Haziq Abdul Aziz dan seorang individu lain.

Mengulas lanjut isu itu, Anwar menggesa supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis.

“Ya, saya baca kenyataan Ketua Polis Negara. Kita tunggulah laporan lanjut. Kedua-dua isu sama ada video itu benar, bukannya rekaan. Dan kedua, siapa yang mendalangi, sebarkan itu pasti dalam siasatan polis.

“Jadi tak payahlah kita buat jangkaan (spekulasi) yang terlalu banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 8:41 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-