Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, August 24, 2019

Hanya orang Islam berhak tentukan Dr Zakir diusir atau tak

tyrazalhe 
24/08/2019
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar


BANGI,
23 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Hanya orang Islam yang berhak menentukan sama ada pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik perlu diusir atau terus tinggal di negara ini, tegas Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Justeru, mana-mana pihak diingatkan supaya tidak perlu lagi menganjurkan protes kononnya mendesak kerajaan ‘tunduk’ dengan tuntutan mereka supaya Zakir Naik dihalau dari Malaysia, katanya.

Beliau berkata, tindakan pihak anti-Zakir Naik mengadakan himpunan yang sepatutnya berlangsung hari ini, bukan sahaja tidak menghormati orang Islam, bahkan mendahului kehendak penduduk majoriti di negara ini.

“Jika majoriti Islam senang dengan kehadiran Dr Zakir Naik di negara ini, jadi tiada siapa pun yang boleh mendahului kehendak orang Islam.

“Bahkan, cubaan mengusir Zakir Naik sebenarnya tindakan melampau yang membelakangi kehendak orang Islam, sebagai penduduk asal negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penganjuran himpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Others’ yang dijadualkan di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, himpunan berkenaan dibatalkan selepas penganjur mendakwa mengikut permintaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji akan bertemu minggu depan dalam membantu menyelesaikan isu itu.

Difahamkan, pembatalan itu juga dipercayai kerana kegagalan penganjur mendapatkan permit daripada pihak polis.

Perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik’ itu dijadual sehari selepas penganjur sama mengadakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran tulisan jawi di sekolah Tamil, malam tadi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Dr Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu.

Zakir didakwa kononnya membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat India dan Cina di Malaysia ketika ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan sehingga mencetuskan desakan banyak pihak supaya dia dihantar pulang ke negara asal.

Selasa lepas, polis mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-