Showing posts with label Pendakwah. Show all posts
Showing posts with label Pendakwah. Show all posts

Friday, March 7, 2025

Tajuddin harapkan suara mufti, ulama berkaitan isu Zamri Vinoth

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 7, 2025 3:42 PM
Ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi memberi amaran bahawa tindakan polis terhadap pendakwah Muslim kontroversi, Zamri Vinoth, boleh menjadikannya "syahid" di mata penyokongnya.

"Menggunakan polis adalah penyelesaian pantas tetapi tidak berkesan.

“Malah, ia akan mencipta kesan syahid. Bahkan teguran daripada pihak istana juga boleh memberi kesan yang sama," katanya kepada Malaysiakini.

Sebaliknya, Tajuddin (gambar atas) percaya bahawa tindak balas yang paling berkesan apabila mufti dan sarjana Islam menolak secara terbuka pendekatan Zamri.

"Ulama Islam seperti Muhammad Afifi al-Akiti dari Universiti Oxford dan Osman Bakar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akan menjadi suara yang baik untuk menentang pendakwah seperti ini," katanya.

"Ia juga akan membantu jika mufti melakukan perkara yang sama, tetapi saya mengesyaki kebanyakan mufti mungkin menyokong pendakwah ini.

“Tokoh agama mempunyai pengaruh yang besar, dan apabila mereka menyelaraskan diri dengan parti politik, pengaruh mereka semakin meluas," tambahnya.
Zamri Vinoth
Tajuddin juga mempersoalkan senyapnya para sarjana dan profesor di universiti awam.

"Terdapat sarjana dan ahli akademik - dibiayai oleh pembayar cukai - di 20 universiti awam. Di mana suara mereka? Pendakwah ini tidak boleh dihentikan hanya dengan tindakan polis," tegasnya.

Mengulas kenyataan Zamri, profesor seni bina itu menyatakan bahawa tiada duluan untuk dakwah seperti itu dalam ajaran Nabi Muhammad.

"Isu di sini ialah gaya menghina agama lain diterima secara meluas dan bahkan popular di kalangan sesetengah umat Islam, sama ada di Malaysia atau di tempat lain.

“Ia adalah realiti yang menyedihkan, tetapi ada," katanya.

Kontroversi 3R

Zamri baru-baru ini mencetuskan bantahan dengan membandingkan pembawa kavadi semasa perayaan Hindu Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya, dengan pengkritik menuduhnya memperkecilkan agama Hindu - tuduhan yang bukan pertama kali dilemparkan padanya.

Presiden MIC, M Saravanan, juga menyeru agar Zamri ditangkap bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), dengan menggambarkannya sebagai "tidak berakal".

Kontroversi ini menggambarkan bagaimana Malaysia bergelut dalam menguruskan ketegangan antara agama, walaupun kerajaan berusaha mengawalnya melalui sekatan "3R" (kaum, agama, dan raja).

Pengkritik berpendapat bahawa penguatkuasaan larangan 3R tidak konsisten, dengan tokoh pembangkang dan suara minoriti menghadapi tindakan lebih pantas berbanding sesetengah golongan keras agama.

[Baca berita asal]

Friday, February 7, 2025

Zakir Naik ada tauliah mengajar agama di Perlis

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 7, 2025 9:00 AM
Pendakwah bebas Zakir Naik, yang mencetuskan kontroversi selepas dilihat berucap di Perlis baru-baru ini, mempunyai tauliah rasmi untuk mengajar agama Islam di negeri itu.

Menurut sumber, tauliah tersebut dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) dan ditandatangani oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Pengurniaan tauliah ini dibuat mengikut Seksyen 118 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa agama negeri untuk meluluskan tauliah mengajar Islam.

"Zakir Naik telah mendapat tauliah mengajar agama Islam di Perlis bermula 2 Oktober 2023.
"Tauliah mengajar Zakir Naik juga telah diperbaharui dan bakal tamat pada 31 Disember 2025," kata sumber.

Terdahulu, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kesediaannya untuk “bertempur” dengan seorang ahli parlimen DAP yang mempertikaikan program agamanya di Perlis.

“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika 'gemulah politik DAP' yang lepas menjualnya,” katanya.

Kenyataan keras itu dipercayai merujuk kepada kontroversi konvensyen agama yang dihadiri oleh Zakir Naik, penceramah yang sebelum ini diharamkan berceramah di Malaysia.
Semalam, RSN Rayer (PH-Jelutong) di Dewan Rakyat mempertikaikan kemunculan semula Zakir Naik di Malaysia, sedangkan pendakwah itu diburu pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang haram dan ekstremisme.

Sebelum ini, pada Ogos 2019, polis mengeluarkan arahan melarang Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Larangan itu dibuat selepas Zakir didakwa mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai orang Hindu dan Cina di Malaysia pada satu ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos 2019.

Sebelum larangan itu dikuatkuasakan, tujuh negeri telah lebih awal melarang ceramah Zakir Naik, iaitu Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan juga Perlis.

Namun, kini Perlis dilihat memberi laluan kepada Zakir Naik untuk kembali berceramah dengan tauliah rasmi sehingga 31 Disember 2025.

Monday, December 12, 2022

Pendakwah saran umat Islam belajar Mandarin, kembali kepada Asya'irah

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Dec 12, 2022 9:24 AM
Jika Anwar Ibrahim ingin dikenang sebagai tokoh perpaduan, perdana menteri wajar mengenal pasti isu-isu yang menjadi punca perbalahan sesama umat Islam dan antara kaum.

Pendakwah bebas, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, antara saranan yang harus diberikan perdana menteri kepada masyarakat Islam adalah mempelajari bahasa Mandarin dan dalam masa yang sama, orang bukan Islam perlu diberi pemahaman asas mengenai Islam.

."Kalau antara umat Islam topik yang sering menjadi perbalahan adalah mengenai bidaah dan sunnah serta tauhid dan syirik. Ini antara topik yang perlu dimasukkan dalam silibus supaya ia mudah difahami.

"Mungkin boleh dicadangkan supaya memberi sedikit insentif untuk belajar bahasa Cina atau Mandarin, dalam masa sama perlu dipertimbangkan bahawa untuk diberikan sedikit kefahaman asas kepada bukan Islam berkaitan dengan Islam sesuai dengan Perkara 3 perlembagaan persekutuan bahawa Islam ialah agama persekutuan," katanya.

Engku Ahmad (atas) berkata demikian semasa majlis tazkirah di kediaman rasmi perdana menteri di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya semalam.

Katanya adalah tidak munasabah apabila rakyat di negara ini tidak mempunyai pemahaman yang baik mengenai Islam walaupun ia merupakan agama persekutuan.

"Jadi sekiranya non-Chinese faham bahasa kaum itu manakala bukan Islam tahu mengenai agama ini, perpaduan dapat dipupuk dengan lebih baik inshaallah," kata bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Engku Ahmad juga meminta Anwar menyatupadukan negara ini dengan mengekang fahaman ektremisme.

"Dalam mengekang ektremisme dan kembalikan kegemilangan intelektual Islam, kita kena kembali kepada pegangan Asya'irah serta menolak pegangan shiah dan wahabi.

"Kerana kalau kita lihat kini banyak orang agama yang diserapi ekstremisme mungkin kerana ketaasuban politik atau parti sehingga mudah membidaahkan serta kafirkan individu yang tak sefahaman dengan mereka," katanya.

Saturday, August 24, 2019

Hanya orang Islam berhak tentukan Dr Zakir diusir atau tak

tyrazalhe 
24/08/2019
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar


BANGI,
23 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Hanya orang Islam yang berhak menentukan sama ada pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik perlu diusir atau terus tinggal di negara ini, tegas Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Justeru, mana-mana pihak diingatkan supaya tidak perlu lagi menganjurkan protes kononnya mendesak kerajaan ‘tunduk’ dengan tuntutan mereka supaya Zakir Naik dihalau dari Malaysia, katanya.

Beliau berkata, tindakan pihak anti-Zakir Naik mengadakan himpunan yang sepatutnya berlangsung hari ini, bukan sahaja tidak menghormati orang Islam, bahkan mendahului kehendak penduduk majoriti di negara ini.

“Jika majoriti Islam senang dengan kehadiran Dr Zakir Naik di negara ini, jadi tiada siapa pun yang boleh mendahului kehendak orang Islam.

“Bahkan, cubaan mengusir Zakir Naik sebenarnya tindakan melampau yang membelakangi kehendak orang Islam, sebagai penduduk asal negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penganjuran himpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Others’ yang dijadualkan di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, himpunan berkenaan dibatalkan selepas penganjur mendakwa mengikut permintaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji akan bertemu minggu depan dalam membantu menyelesaikan isu itu.

Difahamkan, pembatalan itu juga dipercayai kerana kegagalan penganjur mendapatkan permit daripada pihak polis.

Perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik’ itu dijadual sehari selepas penganjur sama mengadakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran tulisan jawi di sekolah Tamil, malam tadi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Dr Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu.

Zakir didakwa kononnya membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat India dan Cina di Malaysia ketika ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan sehingga mencetuskan desakan banyak pihak supaya dia dihantar pulang ke negara asal.

Selasa lepas, polis mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Thursday, July 11, 2019

Zakir Naik tiada dalam senarai merah Interpol - Menteri

News | Diterbitkan Hari ini 8:10 pagi


PARLIMEN | Pendakwah terkenal India, Zakir Naik tidak ada dalam senarai merah Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maklum Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

"Kementerian membuat semakan pada senarai red notice Interpol dan mendapati nama Zakir Naik tidak tersenarai sebagai orang yang dikehendaki.

"Semakan pada senarai entiti pengganas dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) juga mendapati nama beliau tidak tersenarai orang yang disyaki," katanya dalam jawapan bertulis parlimen.

Menteri menjawab pertanyaan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PAS) di Dewan Rakyat yang meminta pendirian Malaysia dalam berhadapan desakan kerajaan India bagi mengekstradisi pendakwah itu.

Menurut Muhyiddin, kerajaan berhak mempertimbangkan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi India terhadap Zakir Naik yang "bersifat politik" itu.

"Beliau memasuki dan keluar dari Malaysia melalui saluran yang sah daripada segi undang-undang."

"Malaysia berhak mempertimbangkan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi tersebut adalah yang bersifat politik seperti dinyatakan Artikel 6 Perenggan (1)(a) Artikel 6 Triti Ekstradisi tanpa menyatakan keperluan sebab penolakan permintaan ekstradisi tersebut.

Kerajaan India pada 19 Januari 2018 mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Zakir Naik.

Zakir sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara".

Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Friday, February 1, 2019

Kritik Yadim: Zamihan terima surat tunjuk sebab

Haspaizi Zain 
Diterbitkan Hari ini 12:01 tengahari


Pendakwah kontroversi Dr Zamihan Mat Zin menjadi menerima surat tunjuk sebab kerana mengkritik lantikan politik dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Menurut sumber, Zamihan diberikan surat tunjuk dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Zamihan adalah kakitangan Jakim yang sebelum ini dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu pentadbiran BN.

"Zamihan sudah diberikan surat tunjuk sebab oleh JAKIM kerana tindakannya mengkritik pelantikan majoriti pemimpin politik dalam Yadim.

"Beliau diberi masa selama tujuh hari untuk menjawabnya, ia susulan 'amaran' Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

"Ia jelas bercanggah dengan prinsip rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam) apabila tidak boleh mengkritik apa yang dilihat 'tidak kena'," katanya kepada Malaysiakini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof kelmarin dilapor memberi amaran kepada pihak yang terus memperkai lantikan anggota dewan undangan negeri (Adun) Paloh Sheikh Omar Ali sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (Alpa), Yadim.

Lantikan Alpa dikritik susulan Sheikh Omar daripada parti DAP dan kerana Alpa diisi oleh ramai ahli-ahli politik kerajaan.

Sebelum ini Zamihan atas kapasitinya sebagai presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak 'melacurkan' institusi agama Islam demi kepentingan politik.

Katanya, Yadim menjadi mangsa kerakusan pemimpin politik PH dan agensi dakwah itu telah dijadikan alat politik.

Sementara itu sumber berkata, Zamihan dikenakan surat tunjuk sebab kerana dianggap sebagai penjawat awam yang mempertikai dasar kerajaan.

"Secara asasnya, surat berkenaan walaupun dikeluarkan oleh Jakim, namun secara tidak langsung ada kaitan dengan 'arahan' pihak atasan," katanya.

Zamihan ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Malaysiakini juga sedang berusaha mendapatkan komen Jakim.

Tuesday, July 10, 2018

Mahathir: Kita tak akan tunduk kepada desakan usir Zakir


Kerajaan tidak perlu mudah tunduk kepada desakan berhubung isu pendakwah bebas Dr Zakir Naik kerana perlu mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk undang-undang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas desakan sesetengah pihak supaya Zakir dihantar pulang ke negara asalnya India, Dr Mahathir berkata : "Kita tidak selalunya terpaksa ikut kehendak orang lain, kita kena tentukan sebab-sebab kita respon kepada mana-mana desakan sama ada dia (Zakir) mengikut undang-undang ataupun tidak. Kalau tidak, ada orang akan jadi mangsa."

Dalam sidang media selepas menyampaikan perutusan pada taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir ditanya mengenai cadangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy supaya Zakir dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dengan negara itu tidak terjejas.

Sebelum ini beberapa portal berita melaporkan Zakir akan dihantar pulang ke India.

Zakir yang didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram meninggalkan India pada 2016.

Kerajaan India telah membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan agar hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India bagi membantu siasatan.

- Bernama

Saturday, October 14, 2017

Zamihan dibebaskan hari ini

Diyana Ibrahim
Pendakwah Zamihan Mat Zin dibebaskan hari ini selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman. – Gambar Youtube, 14 Oktober, 2017.

PENDAKWAH Zamihan Mat Zin yang ditahan reman untuk siasatan di bawah Akta Hasutan selepas didakwa mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi untuk orang Islam dibebaskan hari ini.

Zamihan yang dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 2.30 petang tadi disambut oleh ahli keluarganya.

Beliau dan keluarga kemudiannya terus beredar dengan menaiki sebuah kenderaan MPV berwarna hitam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan berkata, Zamihan tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan kepada media oleh pihak polis.

"Zamihan dibebaskan selepas permohonan polis untuk melanjutkan perintah remannya ditolak oleh mahkamah semalam," katanya.

Tambah Fakhrul, anak guamnya itu turut berada dalam keadaan yang baik dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

“Hujah kita ialah siasatan ini dibuat berkaitan kes hasutan jadi kalau kita tengok kesalahan ia tidak berapa serius dan boleh boleh dijamin.Tempoh tahanan itu tidak boleh sama dengan kesalahan mandatori.

“Jadi kita rasa siasatan sudah lengkap, kita tunggu arahan lanjut sama ada pertuduhan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, abang sulung Zamihan, Mohd Zaimi Mat Zin ketika ditemui di IPD Dang Wangi menyifatkan penahanan adiknya tidak adil memandangkan banyak lagi kes seumpama itu tidak disiasat pihak polis.

“Saya agak terkilan sebab saya tengok secara keseluruhan banyak kes yang berlaku tapi tak diadili dengan saksama maksud saya kalau sebelum ini ada pihak yang cuba menghina agama Islam tetapi tidak didakwa

“Tapi ini (kes Zamihan) melibatkan sensitiviti membabitkan sultan pada saya faham pihak berwajib ambil tindakan untuk menjaga nama,” katanya.

Zamihan merupakan anak yang keempat daripada 10 adik beradik.

Tambahnya kehadiran mereka di IPD Dang Wangi menyambut pembebasan Zamihan bukan atas dasar keluarga semata-mata namun lebih kepada pegangan akidah yang diperjuangkan adiknya sebagai ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pada saya secara dasarnya Zamihan tidak salah dia cuma menyuarakan pendapat betapa penting pegangan akidah umat islam 

“Cuma saya tak nafikan dari segi tutur katanya agak keras sikit tapi biasalah kita manusia biasa ada kelemahan.”

Zamihan merupakan presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ahli Sunnah Wal Jamaah atau Aswaja.

Zamihan ditahan pada Rabu lalu dan direman selama dua hari selepas satu video kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor mengenai isu "kedai dobi untuk orang Islam" tersebar di media sosial.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Zamihan disiasat kerana didakwa menghasut dalam ceramah yang mengkrtik Sultan Johor itu.

Dalam video berkenaan Zamihan berkata "tidak betul" untuk menyekat kedai dobi seperti itu.

Zamihan yang merupakan pegawai agama Jabatan Penjara yang dipinjamkan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, menafikan kenyataannya itu mengkritik atau menghina Sultan Johor.

 – 14 Oktober, 2017.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-