Thursday, October 10, 2019

Khazanah dijangka catat keuntungan RM5 bilion - Azmin


Khazanah Nasional Bhd dijangka mencatatkan keutungan sebanyak RM5 bilion tahun ini selepas merekodkan kerugian RM6.3 bilion tahun lepas.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, Khazanah juga berjaya mengurangkan hutang sebanyak RM8 bilion kepada RM47 bilion di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Hutang dijangka akan terus dikurangkan kepada RM35 bilion hingga RM40 bilion dalam tempoh jangka sederhana," katanya ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahmad meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan prestasi terkini Khazanah Nasional dan jumlah pelupusan saham, aset dan kepentingannya sejak PH mengambi alih kerajaan persekutuan tahun lalu.

Tahun lepas, Khazanah mencatatkan kerugian besar akibat pegangan dalam Malaysia Airlines Bhd yang menyumbang separuh daripada kemerosotannya pada 2018.

Azmin berkata Khazanah telah melaksanakan pelupusan aset berjumlah kira-kira RM18.8 bilion sejak Mei 2018 hingga Jun lalu.

"Sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini, hasil daripada pelupusan tersebut digunakan bagi tujuan membuat pelaburan baru serta membayar balik hutang Khazanah yang menghampiri tempoh matang," katanya.

Tambahnya, hasil daripada pelupusan Khazanah tidak digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

"Bayaran yang diterima oleh kerajaan daripada Khazanah adalah hanya dalam bentuk dividen tahunan dan cukai," katanya

Menurutnya lagi "pelupusan” aset adalah aktiviti perniagaan lazim dilakukan oleh Khazanah, sama seperti dilakukan dana pelaburan yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-