Sunday, October 13, 2019

Semua berkorban untuk PH, kata Salahuddin di Tanjung Piai

Oleh MALAYSIA DATELINE

Datuk Seri Salahuddin Ayub di taklimat umum dan suai kenal PRK Tanjung Piai.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub menyeru semua pihak agar terus berkorban bagi memenangkan Palatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa atas prinsip berkorban inilah yang telah memberikan kemenangan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, sekali gus menawan negeri Johor.

“Banyak pemimpin PH yang telah berkorban. YB Liew Chin Tong sebelum ini ada kerusi selamat di Kluang. Kalau hanya mahu terus menang lebih baik di Kluang tetapi beliau redha ke Ayer Hitam yang tidak tentu menang dan beliau kalah.

“Semua berkorban. Tan Sri Muhyiddin, YB Lim Kit Siang. YB Kit Siang berkorban, tak ada jawatan dalam kabinet tetapi tetap bersama dengan Pakatan Harapan.

“Kalau sebetulnya Tan Sri Muhyiddin jadi presiden Pakatan Harapan kerana sebab beliaulah Umno berpecah. Tetapi beliau berkorban, maka Dr Wan Azizah menjadi presiden, Tun Mahathir menjadi pengerusi dan Datuk Seri Anwar menjadi Ketua Umum,” kata beliau dalam majlis taklimat dan suai kenal PRK di Tanjung Piai, semalam.

Jelas beliau, sebelum ini PH menang di Tanjung Piai adalah kerana PH mempunyai kekuatan kerana bersatu, dan itulah kunci kemenangan tersebut.

Tambah beliau, sekiranya PH kalah di Tanjung Piai ia akan membuka satu langkah orang akan memperlekehkan PH.

“AMANAH akan sokong calon Bersatu. DAP, PKR akan sokong calon Bersatu. Sekiranya calon ini diputuskan untuk dipilih kita akan bersama calon ini. Kita menang tak banyak undi sebelum ini, lebih 500 sahaja.

“Every vote counts. Jadi jangan la nanti ada yang kecil hati. Pandang wajah mereka, Datuk Osman Sapian yang tidak ada jawatan dan lain-lain yang tak ada jawatan tetapi masih bersama PJ.

“Kita kena menang. Ini maruah kita, benteng kita. This is our life. This is our victory in the name of Pakatan,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini susulan penyandang kerusinya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/semua-berkorban-untuk-ph-kata-salahudin-di-tanjung-piai/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-