Friday, November 22, 2019

Dr M dakwa ahli Parlimen BN jumpa Azmin mengadu parti hilang arah

Adam Abu Bakar
-November 22, 2019 7:49 PM

Dr Mahathir Mohamad berucap pada Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders Schools di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi hari ini.

BANGI: Dr Mahathir Mohamad mendakwa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengadu bekas parti pemerintah itu hilang arah dalam pertemuan sulit dengan Mohamed Azmin Ali di kediaman rasmi menteri hal ehwal ekonomi itu pada malam Isnin lalu.

“Saya tanya Azmin apa yang dia bincang, dia kata orang Umno ini (kata) mereka sudah hilang parti, tidak tahu hendak buat apa. Jadi, mereka tanya sama ada hendak masuk parti lain atau tidak.

“Ada yang buat kenyataan mereka sokong kepimpinan Mahathir,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders Schools (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Perdana menteri bagaimanapun tidak memberitahu bila dan di mana timbalan presiden PKR itu memberitahu perkara berkenaan kepadanya.

Isnin lalu, sumber memberitahu FMT lebih 20 ahli Parlimen BN, termasuk bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein menemui Azmin di Putrajaya dipercayai untuk menghalang sebarang langkah memaksa Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.

Azmin bagaimanapun dilapor menyifatkan pertemuan dengan ahli Parlimen BN ialah “mesyuarat biasa” dan Mahathir menafikan beliau mendalangi pertemuan sulit itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Kamarudin Jaffar yang turut menghadiri pertemuan itu dilaporkan berkata, mereka membincangkan isu pembangunan dan dasar kemakmuran negara, tetapi tidak menyentuh sokongan untuk kepimpinan Mahathir.

Hari ini, Mahathir berkata, beliau tiada hak mengulas pertemuan sulit Azmin dan ahli Parlimen BN itu sebagai tindakan betul atau sebaliknya kerana ia adalah urusan PKR.

“Itu adalah hak dia untuk bertemu sesiapa. Kalau parti dia tidak setuju, parti dia beritahulah. Dia bukan dalam parti saya. Bagi saya, saya tidak campur tangan dalam urusan parti lain.”

Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM itu berkata, beliau sendiri difahamkan ada pemimpin PAS dan Umno yang menyokong beliau dan mereka bebas membawa usul undi tidak percaya terhadapnya.

“Apa yang saya tahu, PAS juga sokong saya, Umno juga mahu sokong saya. Terima kasih.

“Saya tidak tahu siapa lagi yang tidak menyokong saya, mereka boleh hantar resolusi untuk undi tidak percaya dan saya akan patuhi undang-undang.”

Pertemuan dengan Anwar

Mengenai pertemuan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim semalam, Mahathir berkata, ahli Parlimen Port Dickson itu memaklumkan ada menteri Kabinet menyalahgunakan kuasa dan memberikan projek.

“Menteri Kabinet berhak memberikan projek dalam kawasan dialah, tetapi tidak perlulah bagi kawasan lain.”

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau dan Mahathir tidak bersetuju dengan “usaha lain” yang menyimpang daripada persetujuan peralihan kuasa perdana menteri, dan penggunaan nama mereka dalam mana-mana muslihat.

Anwar berkata, pendirian berhubung isu peralihan kuasa yang dipersetujui PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, “sama sekali tidak pernah berubah”, ketika spekulasi mengenai pengganti Mahathir berterusan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-