Sunday, December 8, 2019

Pemimpin lemah, tak boleh tadbir negara - Haniza

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@bh.com.my
HANIZA Mohd Talha

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha menempelak pemimpin utama parti itu kerana tidak berpegang kepada prinsip dan janji sehingga gagal mengawal etika ahlinya ketika Kongres Nasional berlangsung.

Beliau menjelaskan, pemimpin yang gagal berpegang kepada prinsip dan janji, tidak mampu menjadi pemimpin kepada lebih 30 juta rakyat negara ini.

“Semalam kita nyatakan dengan jelas bahawa kita memang cintakan parti ini, sebab itu kita sanggup datang ramai-ramai dari jauh. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“(Pemimpin) tidak boleh mengawal etika ahli dan pimpinan parti. Kalau tak boleh kawal, bagaimana nak tadbir 30 juta rakyat,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sini hari ini.

Difahamkan kenyataan itu merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan insiden sekumpulan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR termasuk Haniza, diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar dari dewan Kongres Nasional parti itu di Melaka semalam.

Tindakan itu dibuat selepas mereka tidak berpuas hati dengan sesi perbahasan yang didakwa sebagai berat sebelah.

Haniza berkata, seorang pemimpin harus menyatakan perkara yang benar, memiliki jiwa besar dan boleh menerima teguran.

“Disebabkan (pemimpin) tidak mahu mengaku kesalahan, kelemahan, maka perkara ini menjadi berterusan. Mari kita sampaikan isyarat yang betul bahawa kita cintakan parti yang dibina sejak 20 tahun lalu.

“Tetapi hari ini, kita terpaksa merayu supaya diberi keadilan kepada saudara Zakaria Abdul Hamid (bekas ahli MPP yang dipecat), tidak diberi peluang membela diri. Apa jenis pemimpin macam ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-