Tuesday, December 10, 2019

Shamsul: Zuraida perlu dikenakan tindakan keras

BERITA

Shamsul Iskandar Md Akin menggesa lembaga disiplin PKR mengambil tindakan 'tegas dan keras' terhadap naib presiden parti Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataannya semasa majlis makan malam di Renaissance Hotel pada malam Ahad lalu.

Menurut ketua penerangan PKR itu, Zuraida telah menghina dan meremehkan beberapa pemimpin parti seperti pengarah komunikasi Fahmi Fadzil dan pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Beliau berkata kenyataan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu terhadap Fahmi dan Farhash adalah melampau serta 'terkeluar daripada landasan adab dan akhlak'.

"Serangan beliau kepada keperibadian Fahmi dan Farhash ini adalah sangat mendukacitakan serta tidak menunjukkan perilaku yang selayaknya sebagai seorang menteri kabinet," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Fahmi dan Farhash dilihat memihak kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim manakala Zuraida dari kem diketuai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Semasa berucap pada majlis makan malam itu, Zuraida mengatakan Fahmi sebagai 'budak hingus' dan melabelkan Farhash sebagai "mafia".

Dalam pada itu Shamsul berkata, Zuraida secara bongkak turut menyerang Presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan mendedahkan isi perbualan antara mereka.

"Ini merupakan satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Anwar.

"Sehubungan dengan itu, saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin Parti PKR untuk mengambil tindakan yang tegas dan keras terhadap Zuraida Kamarudin perkara- perkara yang telah dilakukan oleh beliau ini jelas melanggar etika dan disiplin parti," katanya lagi.

Dalam majlis berkenaan, Zuraida antara lain mendakwa Anwar pernah cuba meyakinkannya bahawa Azmin Ali adalah individu dalam rakaman video seks yang tular beberapa bulan lalu.

Kata Zuraida lagi, Anwar juga mendakwa bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah memintanya untuk memecat Azmin.

Majlis makan malam di Hotel Renaissance itu dianggap simbolik kerana hotel berkenaan merupakan lokasi yang sama di mana PKR ditubuhkan dua dekad yang lalu.

Perhimpunan itu dibuat beberapa jam selepas penyokong Azmin meninggalkan Kongres PKR di Melaka, ketika Anwar sedang berucap.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-