Showing posts with label Zuraida Kamaruddin. Show all posts
Showing posts with label Zuraida Kamaruddin. Show all posts

Friday, June 23, 2023

Mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta kepada PKR

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jun 23, 2023 9:58 AM
Mahkamah sivil memerintahkan Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada PKR kerana berpaling tadah daripada parti itu selepas menang kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini membenarkan tuntutan mahkamah bon RM10 juta daripada PKR terhadap bekas menteri itu, yang kehilangan kerusi Ampang kepada wakil PKR Rodziah Ismail pada PRU15 tahun lepas.

Peguam parti itu Navpreet Singh mengesahkan keputusan yang disampaikan oleh hakim mahkamah sivil Akhtar Tahir semasa prosiding dalam talian.

“Mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (PKR) yang meminta defendan membayar RM10 juta kepada pihak di bawah bon itu.
Gambar fail, Zuraida ketika bersama PKR.
“Mahkamah mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat. Mahkamah berpandangan bahawa RM10 juta itu bukan tidak seimbang tetapi jumlah yang munasabah untuk bertindak sebagai sekatan bagi menghalang ahli parti daripada bertindak bertentangan dengan kepentingan parti; dan bahawa jumlah yang kurang tidak akan menjadi penghalang.

"Kos RM50,000 juga diberikan memihak kepada plaintif," kata Navpreet kepada media.

Semasa perbicaraan penuh tindakan sivil itu pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan bahawa Zuraida menang kerusi Ampang kerana bertanding di bawah panji parti dan bukan atas kekuatan sendiri.

Di mahkamah perbicaraan pada 30 Mac, Zuraida memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu dan mendakwa dia dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding di kawasan parlimen itu.
Zuraida merupakan bekas naib presiden PKR yang kemudian menyertai Bersatu dan selepas itu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta kini terlibat dalam pertikaian dengan Presiden PBM Larry Sng.

[Berita penuh menyusul]

Sunday, October 30, 2022

Larry Sng masih Presiden PBM, bukan Zuraida, kata ROS

agendaily.com
30/10/2022
Datuk Larry Sng yang mendakwa masih menjadi Presiden PBM menggantung dua orang kuar Datuk Zuraida Kamaruddin berkuat kuas serta-merta pada 27 Oktober 2022.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Datuk Larry Sng Wei Shien masih lagi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Ketua Pengarahnya Mohd Nawardi Saad berkata berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.

Katanya, pertikaian mengenai jawatan Presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan ROS.

“Itu hal dalaman parti mereka, jika ada pertikaian mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan ROS,” katanya menurut laporan BH hari ini (30 Oktober 2022).

Beliau mengulas krisis dalam ‘dua presiden’ PBM selepas Larry yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau mengisytiharkan dirinya masih Presiden parti itu.

Namun, Khamis lalu Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lalu.

Larry pula mendakwa beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Beliau menegaskan masih presiden parti yang sah seperti dalam rekod ROS yang mana beliau dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.

Semalam, Larry turut menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Zuraida; Haniza; Dr Daroyah Alwi; Rahimah Majid; Dr Sathiskumar Govindaraju; Muhammad Saiful Bahari Sahari; Na’im Brundage; Abdul Aziz Abdul Kadir; Zakaria Abdul Rahim; Muniraa Abu Bakar; Datuk Chua Lian Chye; Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Khamis lalu, Larry mengumumkan penggantungan keahlian Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Majlis Tertinggi parti itu bermesyuarat hari ini di Sarikei, Sarawak memandangkan perkara itu adalah mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu itu dengan segera.

Saturday, October 8, 2022

Zuraida secara rasmi dilantik presiden baru PBM

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Oct 8, 2022 10:43 AM
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin kini menerajui Parti Bangsa Malaysia (PBM) setelah dilantik sebagai presiden baru parti itu semalam menggantikan Larry Sng Wei Shein.

Pelantikan ahli parlimen Ampang itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang berlangsung semalam setelah mesyuarat berkenaan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan semasa Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada 1 Oktober lepas, termasuk meletakkan Zuraida sebagai presiden PBM.

"Majlis Tertinggi yang bersidang semalam telah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan perlembagaan parti telah mengangkat Zuraida sebagai presiden,” kata Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

"Majlis Tertinggi dan seluruh ahli parti mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan mendoakan Zuraida terus diberi kekuatan bagi menerajui parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dan beliau turut berterima kasih kepada Sng yang juga ahli parlimen Julai kerana telah memimpin parti sebelum ini.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai PBM.

Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Dia dilantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum bertukar ke portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di bawah Ismail Sabri Yaakob.

PBM didaftarkan pada 27 Okt 2021 dan diasaskan oleh Mohamad Sukri Yusri yang juga presiden pertamanya dan beberapa ahli politik lain selepas mengambil alih Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Sng mengambil alih jawatan presiden pada Jan 2022 dan ketika ini, termasuk Zuraida dan Sng, PBM mempunyai enam orang ahli parlimen termasuk Steven Choong (Tebrau); Mohammadin Ketapi (Lahad Datu); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Dr Santhara Kumar (Segamat).

-Bernama

Saturday, August 20, 2022

PRU-15: Parti Zuraida intai tujuh kerusi Parlimen 7, DUN 7

agendaily.com
20/08/2022
Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum mengesahkan masih menunggu keputusan permohonan daripada Barisan Nasional (BN).

Parti Bangsa Malaysia (PBM) merancang untuk bertanding di sejumlah tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu sidang media petang ini bahawa rancangan parti pro-Barisan Nasional (BN) itu adalah untuk mempertahankan semua kerusi yang kini disandang ahlinya yang dimenangi di bawah bendera parti lain ketika PRU-14 pada 2018.

“Kami tidak meminta lebih daripada kerusi yang kami sedia ada. Kami akan memberi tumpuan kepada mereka (14 kerusi). Kami adalah pemimpin yang berpengalaman tetapi parti ini baharu dan sekarang kami mempunyai masa yang singkat sebelum menghadapi pilihan raya.

“Jadi kami hanya menumpukan kepada kerusi yang sudah ada… tujuh kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen,” katanya selepas memulakan jelajah politik parti bertemu pengundi di Pangsapuri Seri Intan di Ampang, Selangor, hari ini.

Zuraida berkata PBM telah memulakan jelajah ke seluruh negara di tiga negeri – Perak, Selangor dan Johor – untuk meningkatkan sokongan pengundi di kawasan di mana mereka adalah penyandang.

Parti itu kini diketahui hanya menguasai tiga kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN pada masa ini.

Zuraida ialah penyandang kerusi Parlimen Ampang manakala Presiden PBM Larry S’ng adalah penyandang bagi Julau, dan Steven Choong untuk Tebrau. Ketiga-tiga mereka sebelum ini memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket PKR.

Lima kerusi DUN di bawah PBM ialah tiga di Perak dan dua di Selangor.

Bagi Selangor, kerusi itu disandang oleh Haniza Talha (Lembah Jaya), dan Dr Daroyah Alwi (Sementa) yang memenanginya atas tiket PKR pada PRU-14.

Di Perak, kerusi PBM dimiliki A. Sivasubramaniam (Buntong), Leong Cheok Keng (Malim Nawar) dan Paul Yong (Tronoh). Sivasubramaniam dan Yong sebelumnya menang atas tiket DAP sedangkan Leong dulu dari PKR.

Zuraida bagaimanapun tidak menyatakan empat lagi kawasan Parlimen dan dua DUN yang diintai PBM.

PBM pada asalnya adalah Parti Pekerja Sarawak sebelum Pendaftar Pertubuhan meluluskan pertukaran nama pada Oktober lalu.

Parti itu baru-baru ini memohon menyertai gabungan BN sebagai komponen baharu, bersama lima parti lain tetapi masih belum diluluskan.

Zuraida berkata beliau menerima keputusan BN untuk mengkaji permohonan mereka dengan lebih terperinci.

Sunday, June 19, 2022

Bulan lalu kata mahu bincang letak jawatan, hari ini Zuraida harap kekal sebagai menteri

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-June 19, 2022 5:44 PM
Zuraida Kamaruddin akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukannya dalam Jemaah Menteri minggu ini

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin berharap dapat mengekalkan jawatannya walaupun pada 26 Mei lalu menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata akan membincangkan peletakan jawatan dengan perdana menteri, selepas mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengakui mengharapkan “khabar yang baik” dalam perjumpaan dijadualkan dengan Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lagi, Ahli Parlimen Ampang itu, berkata harapannya adalah untuk menyelesaikan segala program dan perancangan kementerian diterajuinya.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama Bersatu sebelum mengumumkan keluar parti itu, pada 26 Mei, untuk menyertai PBM dan kemudian diumumkan sebagai “pengganti presiden” atau bakal presiden PBM, pada 8 Jun.

“Perdana menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan), saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (menteri) untuk habiskan program atau perancangan yang telah saya mulakan dan untuk stabilkan negara,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khamis lalu, media melaporkan Ismail akan bertemu Zuraida, minggu ini, bagi membincangkan kedudukan bekas ketua wanita PKR itu dalam Jemaah Menteri.

Menyusul kemudian, kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang beliau sudah berhubung dengan perdana menteri untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang berkenaan sebagai anggota Jemaah Menteri.

Muhyiddin berpandangan menteri berkenaan perlu diganti kerana jawatan disandangnya kini adalah atas kuota Bersatu, namun menyerahkan kepada Ismail untuk membuat keputusan kerana itu hak perdana menteri.

Terdahulu, Presiden PBM Larry Sng, meminta Ismail menimbang mengekalkan Zuraida memegang portfolionya kerana Ahli Parlimen Ampang itu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida yang juga pengasas dan presiden majlis pimpinan politik wanita (Comwel), berkata, agenda pemberdayaan wanita dalam arena politik negara, khususnya di peringkat akar umbi sememangnya antara satu daripada enam tunjang perjuangan PBM.

“Secara keseluruhan kini, semua pihak yang berkecimpung dalam politik mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan, semua ada peluang. Ia berkaitan bagaimana kita merancang pendekatan politik kita dalam mendapatkan sokongan pengundi.

“Ia (politik) sekarang sudah menjadi pasaran terbuka, tinggal bagaimana kita menjual produknya sahaja,” katanya.

Thursday, May 26, 2022

Muhyiddin akan namakan calon menteri ganti Zuraida kepada PM

agendaily.com
26/05/2022
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menamakan calon baharu bagi mengisi kekosongan kerusi menteri daripada Bersatu setelah Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Perkara itu dijelaskan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika mengulas tindakan Zuraida yang turut mengumumkan peletakan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Kekosongan ditinggalkan Zuraida adalah kuota menteri bagi Bersatu.

“Berkaitan Kabinet, Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional akan menamakan calon yang sesuai dari kalangan pemimpin Bersatu,” kata Wan Saiful dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Bersatu sebelum ini telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida setelah berbincang dan meneliti tindak tanduk terkini Ahli Parlimen Ampang itu.

“Sebelum ini Bersatu memang telah membincangkan kedudukan Zuraida, setelah meneliti tindak tanduk beliau yang terkini.

“Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan tersebut.

“Biro Politik Bersatu juga sebenarnya telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan beliau dalam parti,” katanya.

Wan Saiful berpendapat tindakan Zuraida bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang telah dijangka.

“Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri sahaja,” katanya.

Zuraida keluar Bersatu, sertai PBM

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-May 26, 2022 10:47 AM
Zuraida Kamaruddin berkata, pendirian beliau selaku ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah selari dengan pendirian Parti Bangsa Malaysia.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada Bersatu dan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Katanya, beliau akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun berpendirian akan terus menyokong kerajaan di bawah pimpinan Ismail, selaras dengan pendirian PBM.

Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

“Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya memutuskan untuk menyertai PBM,” katanya alam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida turut berterima kasih kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail atas kepercayaan mereka melantik beliau sebagai menteri Kabinet.

“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka,” katanya.

Pada April lalu, FMT melaporkan Zuraida dijangka keluar Bersatu April lalu. Menurut sumber, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkongsi rancangannya dengan pimpinan PBM.

FMT mengesahkan Zuraida dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dianggotai presiden parti itu, Muhyiddin pada awal Feb lalu.

Wednesday, February 26, 2020

Azmin, Zuraida akan sertai Bersatu?

Sumber dedah 11 bekas Ahli Parlimen PKR ada nyatakan hasrat
26/02/2020


KUALA LUMPUR, 2 Rejab 1441H, Rabu – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Memetik laporan Berita Harian, hasrat sama turut diutarakan oleh bekas Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin dan sembilan lagi Ahli Parlimen PKR.

Mereka adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Terdahulu, sebelas Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Difahamkan, sumber mendedahkan bahawa mereka juga bersetuju menjadi sebahagian daripada Bersatu dengan diketuai oleh Mohameh Azmin.

“Saya tak pasti bila mereka akan hantar borang (sertai Bersatu), itu kita serahkan kepada Mohamed Azmin untuk umumkan.

“Ahli Parlimen bukan Bumiputera boleh menyertai Bersatu sebagai ahli bersekutu seperti termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya.

Julai tahun lalu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu meluluskan hampir semua usul dikemukakan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Bersatu 2019.

Antara pindaan dipersetujui termasuk mewujudkan keahlian bersekutu dalam kalangan bukan Melayu dan Bumiputera.

Sunday, February 23, 2020

Penyokong Azmin bertemu di PJ, MP Bersatu dilihat hadir

BERITA

Pemimpin PKR yang setia kepada Timbalan Presidennya Azmin Ali kini sedang bermesyuarat di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya, mencetuskan spekulasi suatu pengumuman penting akan dibuat petang ini.

Turut hadir ialah anggota parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Temerloh), Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Menariknya, Anggota Parlimen Bersatu Hamzah Zainuddin (Larut) juga kelihatan di hotel yang sama. Beliau diiringi oleh Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

Sama ada MP Larut itu akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu atau tidak, ia masih belum pasti.

Hamzah (gambar, bawah) keluar Umno pada tahun lepas untuk menyertai Bersatu.
Turut kelihatan, aktivis sosial Hishammudin Rais dan penasihat Azmin Khalid Jaafar.

Mereka dipercayai berkumpul di sebuah bilik mesyuarat yang telah ditempah sehingga jam 7 malam.

Ketika laporan ini ditulis, Azmin dipercayai tidak berada di dalam hotel itu dan dijangka tiba kemudian.

Para pemberita telah menerima banyak mesej teks yang mendakwa kem Azmin akan mengumumkan mereka bakal meninggalkan PKR hari ini.

Bagaimanapun, dakwaan ini tidak boleh disahkan secara bebas.

Sesetengah wartawan juga telah menunggu di istana negara, dengan ada yang menjangkakan perubahan kerajaan akan berlaku.

Sementara itu, difahamkan Majlis Tertinggi Bersatu telah bermesyuarat pagi ini di Menara Yayasan Selangor, kira-kira lima minit perjalanan dari hotel di mana kem Azmin sedang melakukan pertemuan.

Pegawai daripada kedua-dua kem Azmin dan Bersatu tidak memberitahu mengenai tujuan pertemuan hari ini, yang diadakan susulan mesyuarat PH yang penting pada hari Jumaat lalu.

Ketika mesyuarat Majlis Presiden PH itu, pemimpin tertingginga terbahagi kepada dua pendapat. Satu pihak mahu Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai perdana menteri, sementara yang lain mahu beliau menetapkan tarikh persaraan.

Pada akhirnya, mesyuarat itu memutuskan tarikh peralihan kuasa "terpulang kepada Mahathir."

Wednesday, January 29, 2020

Kes Zuraida: Demo tak pengaruhi lembaga disiplin - Anwar

BERITA

Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan sebarang perhimpunan sama ada menyokong atau membantah pemecatan naib presiden parti itu Zuraida Kamaruddin tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin parti itu.

Oleh itu beliau meminta pihak yang berkumpul di hadapan ibu pejabat parti dan di mana saja supaya bersurai.

Jelasnya, lembaga disiplin parti itu diminta memantau tindakan anggota parti itu yang melanggar arahan tersebut.

"Merujuk kepada kumpulan yang hadir dan berkumpul di depan ibu pejabat PKR bagi menyokong atau membantah pemecatan Zuraida Kamaruddin, saya meminta kepada mereka untuk bersurai.

"Tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekali tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin yang harus memutuskan sebarang keputusan secara bebas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi ini, meskipun dalam keadaan hujan penyokong dan anggota PKR yang membantah Zuraida berkumpul di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Terdapat juga perhimpunan mengecam menteri perumahan itu di tempat sama.
Demo anti-Zuraida
Semalam, Malaysiakini melaporkan penyokong Zuraida dijangka mengadakan perhimpunan solidariti di 10 lokasi di seluruh negara hari ini ketika beliau hadir ke ibu pejabat parti bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin.

Pejabat Zuraida memberitahu media bahawa ahli parlimen Ampang itu akan hadir esok pada jam 12.30 tengah hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Zuraida setakat ini enggan mendedahkan alasan surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepadanya namun memberi gambaran bahawa ia mempunyai kaitan dengan ucapannya yang dibuat semasa perhimpunan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Renaissance Hotel bulan lepas.

Pemberitahuan kepada media itu juga termasuk jemputan untuk liputan perhimpunan solidariti di Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Johor dan Negeri Sembilan yang akan diadakan serentak pada jam 1 petang.

Surat tuntutan buat Zuraida dicap terima pada 20 Jan, kata Saifuddin

BERITA

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan surat tuntutan saman yang dikeluarkan terhadap Zuraida Kamaruddin, sudah dihantar ke pihak naib presiden parti terbabit.

Memaklumkannya kepada Malaysiakini, Saifuddin berkata surat terbabit dihantar ke pejabat Zuraida di Putrajaya. Untuk rekod Zuraida ialah menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

"Surat berkenaan dihantar ke pejabat beliau dan dicap aku terima pada 20 Jan 2020," katanya.

Semalam media melaporkan Saifuddin membuat tuntutan terhadap Zuraida mengenai kenyataan dibuat ahli parlimen Ampang itu yang didakwa berunsur fitnah.

Bagaimanapun, Saifuddin dilaporkan membuat tuntutan tersebut atas kapasiti peribadi, bukan jawatannya dalam PKR.

Untuk rekod, Saifuddin dan Zuraida berada di dua kem berbeza dalam kemelut PKR. Zuraida adalah penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, manakala Saifuddin berpihak kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Semalam juga Zuraida memberitahu Malaysiakini beliau belum menerima apa-apa surat tuntutan daripada Saifuddin.

“Saya tidak menerima apa-apa berhubung perkara tersebut,” katanya.

Zuraida juga berkata beliau akan membiarkan peguamnya untuk mengendalikan kes berkenaan.

Menurut Saifuddin ada dua tuduhan dibuat Zuraida sebelum ini, membabitkan dakwaan berkaitan kerajaan Kelantan serta Tabung Tok Kenali.

Menurut Saifuddin, beliau dilantik sebagai pengurus Tabung Tok Kenali pada 2004 hingga 2007 oleh menteri besar Kelantan ketika itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tabung Tok Kenali ialah agensi kerajaan negeri yang mengendalikan program bantuan dan khairat kematian untuk semua penduduk Kelantan yang berusia 60 tahun ke atas.

Tuesday, January 28, 2020

Penyokong Zuraida dijangka berhimpun di 10 lokasi seluruh negara

BERITA

Para penyokong Zuraida Kamaruddin dijangka mengadakan perhimpunan solidariti di 10 lokasi di seluruh negara esok ketika naib presiden PKR itu hadir ke ibu pejabat parti bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin.

Pejabat Zuraida memberitahu media bahawa ahli parlimen Ampang itu akan hadir esok pada jam 12.30 tengah hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Zuraida setakat ini enggan mendedahkan alasan surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepadanya namun memberi gambaran bahawa ia mempunyai kaitan dengan ucapannya yang dibuat semasa perhimpunan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Renaissance Hotel bulan lepas.

Pemberitahuan kepada media itu juga termasuk jemputan untuk liputan perhimpunan solidariti di Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Johor dan Negeri Sembilan yang akan diadakan serentak pada jam 1 petang.

Pada 17 Jan, dua kumpulan penyokong PKR berhadapan di luar ibu pejabat parti di Petaling Jaya ketika pemimpin parti bertemu untuk mesyuarat bulanan pimpinan pusat PKR.

Sunday, January 19, 2020

Zuraida akan jawab surat tunjuk sebab

BERITA

Bagaimanapun, menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata beliau tidak dapat mendedahkan apakah isu-isu yang dibangkitkan dan memberi bayangan ia ada kaitan dengan ucapan berapi yang dibuatnya pada majlis makan malam di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur tahun lalu.

Majlis itu mengumpulkan kira-kira 2,000 penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“Saya terima surat bertarikh 15 haribulan dan saya diberi tempoh 14 hari.

“Jadi, Insya-Allah saya akan menjawab isu yang dibangkitkan, cuma saya tak boleh sebutkan apa isunya ketika ini.

“Dan insya-Allah segala yang saya jawab itu, apa yang penting itu segala apa yang saya ucapkan di Renaissance itu adalah benar. Itu yang penting,” katanya ringkas selepas mengedarkan limau sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pasar Pekan Ampang, Selangor.

Beliau berkata demikian mengulas surat tunjuk sebab yang diterimanya.
Semalam, setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail berkata parti telah memberikan surat tunjuk sebab kepada Zuraida.

Kata ahli parlimen Kulim - Bandar Baru itu, pemimpin kanan PKR berkenaan juga diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tersebut.

Bagaimanapun, Saifuddin enggan memberikan maklumat lanjut mengenai surat tersebut, termasuk alasan ia dikeluarkan, kerana ia dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim.

Semasa berucap ketika majlis makan malam pada 8 Disember lalu, Zuraida mendakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim cuba meyakikannya bahawa video seks yang didakwa memaparkan Azmin adalah betul.

Zuraida turut berkata Anwar juga cuka meyakinkannya dengan mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah meminta presiden PKR itu untuk memecat Azmin.

Pada ketika itu Zuraida berkata beliau tidak takut sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat kenyataan menentang Anwar, setiausaha agung parti Saifuddin Nasution dan beberapa pimpinan lain.

Sementara itu, Zuraida yang juga MP Ampang menolak desakan 10 pengerusi PKR negeri supaya lembaga disiplin membuat keputusan memecatnya.

"Itu biar orang lain layanlah. Itu bukan standard (layan desakan berundur) saya,” katanya ringkas.

Beliau juga memberitahu akan menghadap Lembaga Disiplin PKR.

“Insya-Allah saya akan berdepan lembaga disiplin dan saya harap mereka buat kerja mereka. Kita tahu pengaruh kepimpinan parti dan yakin mereka ini adil.

"Jadi, mereka akan memberi penghakiman yang adil kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, ketika disoal sama ada beliau akan hadir ke sidang mesyuarat parti seterusnya, anggota Parlimen Ampang itu berkata akan melihat perkembangan semasa.

“Kita lihat apa perkembangan semasa,” katanya ringkas.

Saturday, January 18, 2020

10 pengerusi PKR negeri desak Zuraida dipecat

Diterbitkan Hari ini 3:05 petang

BERITA

Sepuluh pengerusi PKR negeri hari ini membuat desakan terbuka agar salah seorang naib presiden mereka digugurkan.

Desakan itu dibuat kira-kira sejam selepas diketahui Lembaga Disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada naib presiden terbabit, Zuraida Kamaruddin.

Dalam kenyataannya, Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul, berkata mereka mengadakan pertemuan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan sebelum itu.

Hasil pertemuan itu, katanya, bersetuju untuk mendesak agar Zuraida dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti serta mengkritik keras presiden mereka, Anwar Ibrahim.

"Hari ini kami menggesa - selepas menerima desakan sama dari akar umbi, ketua-ketua cabang di negeri-negeri - untuk kami (pengerusi PKR) membuat pendirian tegas menuntut agar Zuraida disingkirkan dari parti.

"Kami dengan ini menuntut supaya lembaga disiplin mengkaji sedalam-dalamnya semua tuduhan-tuduhan yang telah dibuat terhadap beliau," katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga mendakwa, kedudukan Zuraida - yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan - tidak membantu parti sama sekali.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul
Beliau juga mendakwa tuntutan itu mendapat sokongan daripada majoriti ahli akar umbi di kebanyakan negeri.

Semasa membuat kenyatan itu, Johari diiringi sembilan lagi pengerusi PKR negeri termasuk dari Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dari Perak, Fuziah Salleh (Pahang), Syed Ibrahim Syed Noh (Johor) dan Aminuddin Harun (Negeri Sembilan).

Tiga pengerusi negeri yang tidak hadir ialah Baru Bian (Sarawak), Christina Liew (Sabah) dan Amirudin Shari (Selangor).

Menurut Johari, desakan untuk Zuraida dipecat dibuat walau apa pun reaksi yang akan diberikan ahli parlimen Ampang itu terhadap surat tunjuk sebab parti.

Sementara itu Farhash yang juga pembantu khas Anwar mendakwa, persepsi bahawa Zuraida mendapat sokongan ramai ahli akar umbi sebenarnya tidak benar.

"Macam di Perak, daripada 24 cabang 22 daripadanya mahu Zuraida dipecat... jadi untuk mengatakan beliau popular dalam kalangan Wanita, juga tak betul," dakwanya.

Fuziah yang juga bekas ketua Wanita PKR juga sependapat dengan kenyataan Farhash.

Kata ahli parlimen Kuantan itu, Zuraida sudah hilang sokongan dalam kalangan anggota parti.

Wednesday, January 8, 2020

Doktor hentam Zuraida 'tolong orang untuk mati'

BERITA

Pakar-pakar perubatan membidas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin kerana mahu memperuntukkan RM1 juta bagi membina tempat merokok di tempat awam.

Mereka berkata langkah itu melawan arus Kementerian Kesihatan yang berusaha mengurangkan tabiat merokok.

Kos rawatan bagi penyakit berkaitan rokok di Malaysia dianggarkan akan menelan belanja RM7.4 bilion wang pembayar cukai menjelang tahun 2025.

“Saya harap apa pun yang kamu dapat dari usaha ini berbaloi dengan tambahan kematian akibat dasar yang kamu gubal,” kata Dr Helmy Haja Mydin, pakar perunding pernafasan, di Twitter.

Katanya, dianggarkan separuh daripada perokok di negara ini mahu berhenti dan peruntukan RM1 juta itu patut diperuntukkan bagi membantu golongan ini keluar daripada tabiat buruk.


Helmy Haja Mydin@dochelmy

Another example of catering to loud voices within the electorate.

Thank you @ybz99 for undermining efforts by @DrDzul @KKMPutrajaya in reducing the burden of disease due to #tobacco

I hope whatever you get out of this is worth all the extra deaths your policy will bring. https://twitter.com/staronline/status/1214391779908182017 …
The Star
✔@staronline

Zuraida semalam berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

KPKT kini mempunyai satu model kawasan khas merokok di Ampang yang mempunyai dua pondok kawasan merokok dengan kelengkapan bumbung, tempat duduk dan tempat membuang puntung rokok.

Sementara itu, KPKT juga membenarkan pemilik restoran atau kedai makan, sama ada milik persendirian atau PBT, menyediakan kawasan khas merokok di luar premis, pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan terdekat.

‘Kita cuba selamatkan nyawa’

Pandangan sama dikongsi oleh ahli psikiatri yang pakar dalam bidang pemberhentian amalan merokok Dr Amer Siddi yang mengaku “patah semangat” dengan pengumuman itu.

“Saya tidak faham logik ini; bila ada jawatan dan boleh buat perubahan, kamu tolong orang untuk mati…

“Kami cuba selamatkan nyawa tetapi kamu galakkan yang sebaliknya. Bertentangan sama sekali,” tulis Amer di Twitter yang ditujukan kepada Zuraida.

Dr Amer Siddiq@DrAmerSiddiqPsy

For my international tobacco control colleagues. We have a minister that literally donated a million ringgit to assist people to continue smoking in public spaces. She wants to build a luxury smoking area - seat, shade and ash tray https://www.malaysiakini.com/news/506200


RM1 juta untuk bina kawasan merokok di tempat awam

KPKT juga benarkan pemilik kedai makan sediakan kawasan merokok di luar premis, pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan.malaysiakini.com

93
8:52 PM - Jan 7, 2020

Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan larangan merokok di kedai makan di seluruh Malaysia bermula 1 Januari lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 20,000 lelaki dewasa di Malaysia meninggal saban tahun akibat penyakit berkaitan amalan merokok.
Zuraida Kamaruddin

Tuesday, January 7, 2020

Zuraida bidas kritikan Najib berhubung rasmi balai bomba Kimanis

Mohamad Fadli
-January 7, 2020 2:26 PM
Zuraida Kamaruddin ketika merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis pada 4 Jan lalu. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin membidas bekas perdana menteri Najib Razak yang mengkritiknya merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis selepas 2 tahun ia siap dibina.

Zuraida mendakwa Najib juga pernah melakukan perkara yang sama seperti dilakukannya itu.

“Najib itu buat tak tahu sahaja. Bukan tak tahu, dia pun buat kerja itu,” katanya pada sidang media di bilik media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Zuraida berkata perasmian balai bomba selepas 2 tahun siap adalah perkara biasa.

“Memang normal. Macam Yang di-Pertuan Agong rasmi masjid.

“Masjid sudah 10 tahun (siap), baru rasmi. Macam itulah juga,” katanya.

Najib menerusi Facebooknya pada 4 Januari lalu, mempersoalkan tindakan Zuraida merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis walaupun siap dibina pada Julai 2018.

“Hello, Zuraida. Balai bomba Kimanis ini siap bina Julai 2018.

“Yang kamu rasmi tahun 2020 ini kenapa? Untuk pengetahuan orang Kimanis, ini projek diluluskan oleh BN.

“Bajet RM7.73 juta kita beri. Mentang-mentang ada pilihan raya kecil, masa ini menteri-menteri Pakatan Harapan berlumba-lumba nak rasmi itu, ini di Kimanis,” tulisnya.

Saturday, December 21, 2019

Cukai taksiran seluruh negara akan disemak 2020, kata Zuraida

Adam Abu Bakar
-December 21, 2019

Zuraida Kamaruddin.

AMPANG: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata cukai taksiran semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara akan disemak bermula tahun depan.

Semakan dibuat selepas kementerian mendapati terdapat banyak PBT mengekalkan kadar cukai lama sejak puluhan tahun.

“Tidak pernah kita buat semakan semula cukai tafsiran, tetapi untuk 2020 saya sudah keluarkan arahan kepada semua PBT untuk jadikan 2020 sebagai tahun penyelarasan penilaian,” katanya pada sidang media selepas satu majlis perasmian malam tadi.

“Maknanya, mereka selaraskan pada 2020, naikkan sedikit atau apa untuk penyelarasan dan selepas itu setiap 5 tahun akan ikut naik,” tambahnya.

Zuraida berkata selama ini “tidak ikut garis panduan kerajaan tempatan”.

“Janganlah sampai 20 hingga 30 tahun tidak lakukan kenaikan, kerana ia akan membebankan (PBT),” tambahnya.

Zuraida beri jaminan kenaikan kadar cukai akibat penyelarasan itu tidak akan membebankan rakyat, membayangkan kenaikan maksimum sebanyak RM2 sahaja.

“Kenaikannya ikut kadar rumah dan premis niaga. Kalau naik juga dalam RM1 atau RM2 sahaja. Penyelarasan ini dibuat hingga 2025.

“Ini hanyalah penyelarasan token sahaja,” katanya, dan menambah penyelarasan ini juga akan dilaksanakan di negeri-negeri yang tidak ditadbir Pakatan Harapan.

“Penyelarasan itu secara tidak langsung akan memberi keuntungan kepada PBT dan mereka dapat meningkatkan servis mereka,” katanya.

Zuraida menjelaskan kadar cukai tidak dinaikkan kerana ahli-ahli politik bimbang akan kesannya pada sokongan rakyat.

“Hendak masuk pilihan raya, dia takut hendak naikkan. Saya hendak hentikan budaya ini. Kalau tidak buat macam ini, akan beri kesan pada PBT,” katanya.

Zuraida berkata pada ketika ini hanya PBT di Pahang sudah melaksanakan kenaikan cukai taksiran.

Sementara itu, Zuraida mengumumkan rancangan untuk menaiktaraf status Majlis Perbandaran Ampang Jaya sebagai bandaraya.

Katanya, PBT boleh dinaik taraf apabila ia mencapai sasaran pendapatan hasil pungutan cukai sebanyak RM100 juta setahun.

Menurut Zuraida, pungutan MPAJ sudah melebihi sasaran iaitu RM160 juta.

Friday, December 13, 2019

Zuraida setuju gesaan Anwar guna saluran dalaman parti

Oleh BERNAMA
December 13, 2019 7:07 pm

Tindakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kenyataan perbalahan dalaman parti dihentikan disifatkan dapat mengelakkan pihak yang tidak terlibat daripada terus mengeluarkan kenyataan.

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata beliau bersetuju dengan gesaan Anwar supaya semua pimpinan dan anggota parti menggunakan saluran dalaman untuk mengemukakan pandangan kerana melihat ia dapat ‘menenangkan keadaan’.

“Saya setuju kerana bila saya diajukan soalan, saya juga mengatakan bahawa presiden saya memerlukan masa untuk bertenang …jadi elok lah untuk semua orang juga bertenang.

“Pihak yang tidak terlibat dan tidak ada direct penglibatan dengan parti juga tak payah komen dan jika mereka masih mengeluarkan komen bermakna mereka mempunyai kepentingan sendiri,” katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Rumah Mampu Milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini hari ini.

Semalam, Anwar menerusi kenyataan medianya menggesa anggota PKR menghentikan perbalahan dalaman dengan serta-merta dan menambah, rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada mereka sudah bosan dengan kenyataan sedemikian.

Semasa ditanya jika beliau akan menggunakan saluran parti termasuk Lembaga Disiplin untuk menyuarakan pandangan, Zuraida menjawab :”Saya tidak akan bersuara, saya menunggu mereka memanggil saya.”

Berita penuh https://malaysiadateline.com/zuraida-setuju-gesaan-anwar-guna-saluran-dalaman-parti/

Tuesday, December 10, 2019

Shamsul: Zuraida perlu dikenakan tindakan keras

BERITA

Shamsul Iskandar Md Akin menggesa lembaga disiplin PKR mengambil tindakan 'tegas dan keras' terhadap naib presiden parti Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataannya semasa majlis makan malam di Renaissance Hotel pada malam Ahad lalu.

Menurut ketua penerangan PKR itu, Zuraida telah menghina dan meremehkan beberapa pemimpin parti seperti pengarah komunikasi Fahmi Fadzil dan pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Beliau berkata kenyataan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu terhadap Fahmi dan Farhash adalah melampau serta 'terkeluar daripada landasan adab dan akhlak'.

"Serangan beliau kepada keperibadian Fahmi dan Farhash ini adalah sangat mendukacitakan serta tidak menunjukkan perilaku yang selayaknya sebagai seorang menteri kabinet," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Fahmi dan Farhash dilihat memihak kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim manakala Zuraida dari kem diketuai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Semasa berucap pada majlis makan malam itu, Zuraida mengatakan Fahmi sebagai 'budak hingus' dan melabelkan Farhash sebagai "mafia".

Dalam pada itu Shamsul berkata, Zuraida secara bongkak turut menyerang Presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan mendedahkan isi perbualan antara mereka.

"Ini merupakan satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Anwar.

"Sehubungan dengan itu, saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin Parti PKR untuk mengambil tindakan yang tegas dan keras terhadap Zuraida Kamarudin perkara- perkara yang telah dilakukan oleh beliau ini jelas melanggar etika dan disiplin parti," katanya lagi.

Dalam majlis berkenaan, Zuraida antara lain mendakwa Anwar pernah cuba meyakinkannya bahawa Azmin Ali adalah individu dalam rakaman video seks yang tular beberapa bulan lalu.

Kata Zuraida lagi, Anwar juga mendakwa bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah memintanya untuk memecat Azmin.

Majlis makan malam di Hotel Renaissance itu dianggap simbolik kerana hotel berkenaan merupakan lokasi yang sama di mana PKR ditubuhkan dua dekad yang lalu.

Perhimpunan itu dibuat beberapa jam selepas penyokong Azmin meninggalkan Kongres PKR di Melaka, ketika Anwar sedang berucap.

Monday, December 9, 2019

Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga

Timmy Say
-December 9, 2019 8:30 AM

Tiada sidang Parlimen bermula minggu ini sehingga Mac 2020. Empat bulan ini mungkin 4 bulan yang terpanjang untuk Anwar Ibrahim.

Minggu lalu boleh dikatakan minggu “sudah jatuh ditimpa tangga” bagi Anwar.

Kongres Nasional PKR ke-14 yang sepatutnya menjadi medan sebulat suara semua ahli dan pimpinan PKR mengangkat Anwar sebagai perdana menteri ke-8 tidak menjadi kenyataan.

Lebih teruk, kongres kali ini dicemari oleh pelbagai perkara yang mencemarkan imej Anwar dan juga mendedahkan kelemahan ketaranya untuk menguruskan perbedaan pendapat dalam parti.

Bukan itu sahaja, sehari sebelum kongres Pemuda bermula, Anwar diserang oleh tuduhan salah laku seksual oleh bekas penyelidiknya sendiri, Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber. Ya, kebetulan sekali lagi – tuduhan daripada orang yang bekerja di dalam pejabat Anwar seperti Saiful Bukhari.

Kebetulan juga, pada hari yang sama, selepas beberapa jam SD Rawther menjadi viral, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang gagal menghadiri sebarang mesyuarat parti selama ini tiba-tiba dapat hadir ke satu mesyuarat biro politik PKR yang dipengerusikan Anwar di Parlimen.

Gambar-gambar pendamaian Anwar-Azmin tersebar. Jika ya pun gambar itu sekadar satu lakonan, tapi gambar pendamaian itu sebenarnya menaikkan imej Anwar kerana akhirnya dapat menyatupadukan parti yang sudah cacamerba menjelang kongres ulang tahun PKR ke-20.

Kesudahannya, Azmin diberikan lampu hijau untuk merasmikan Pemuda dan Wanita PKR. Azmin juga mengumumkan hubungan beliau dengan Anwar tiada masalah.

Tapi sayang, bibit-bibit pendamaian ini tidak dapat bertahan 72 jam.

Azmin yang membawa pasukannya menghadiri kongres PKR bertindak melangkah keluar dari kongres parti apabila perbahasan perwakilan parti mula menyerangnya.

Dalam satu sidang media tergempar selepas itu, Azmin berkata semuanya ini berpunca daripada ucapan dasar Anwar yang didakwa sengaja memetik kisah “Si Kitul dan Raja Mandeliar” sebagai pembuka jalan kepada pembahas memulakan serangan terhadapnya. Malah Azmin menyelar tindakan Anwar yang digambarkan terlalu ingin menjadi perdana menteri dengan membangkitkan isu penyerahan kuasa setiap hari, minggu dan bulan.

Di sebelah pagi keesokan hari, Azmin menaikkan satu poster untuk mengingatkan semua ahli PKR di mana mungkin beliau yang berjuang 20 tahun untuk menghidupkan PKR adalah pengkhianat.

Hasilnya, semua pemimpin dan ahli parti yang menyokong Azmin bertindak memboikot hari terakhir kongres PKR, menyebabkan Anwar tidak dapat menutup kongres dengan dewan penuh.

Sebaliknya kem Azmin, termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari menghadiri Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Rennaisance Kuala Lumpur yang dianjurkan Azmin pada sebelah malam.

Di majlis makan malam ini, Azmin menegaskan “PKR bukan diasaskan oleh seorang individu atau satu keluarga, ia diasaskan oleh rakyat.” Azmin juga mengingatkan Anwar mengenai kesetiaannya melalui tindakan beliau mempertahankannya dalam skandal seks.

Zuraida pula melondehkan perangai Anwar terhadap Azmin dengan mendedahkan Anwar memberitahunya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu beliau memecat Azmin kerana didakwa terlibat di dalam skandal video gay.

Beliau turut berkata Anwar memberitahunya bahawa polis menyatakan watak di dalam video tersebut ialah Azmin bersama bekas ahli PKR Santubong Haziq Aziz. Zuraida berkata beliau menyoal kebenaran kenyataan Anwar mengenai itu kerana Mahathir berulang kali mempertahankan Azmin.

Semalam, Rawther pula akan memberikan kenyataan kepada Bukit Aman mengenai tuduhannya terhadap Anwar.

Dengan kongres PKR yang berakhir dengan perpecahan dan kehilangan pengaruh dalam parti berserta masalah “orang pejabat sendiri” yang nampaknya berulang-ulang, Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Ada 6 bulan lagi sebelum penuh tempoh 2 tahun yang diberikan para penyokong Anwar kepada Mahathir untuk melepaskan jawatan PM kepadanya.

Enam bulan ini dijangka akan menjadi bulan yang terpanjang dalam hidup Anwar bergelut dengan nafsu impian menjadi PM dilanggar ombak karenah Azmin, ditarik arus oleh tuduhan Rawther serta berdepan dengan runtuhnya keyakinan rakyat terhadap kemampuan beliau untuk mentadbir negara apabila beliau kini kelihatan seakan tidak mampu mentadbir parti sendiri.

Dan tiada yang lebih menakutkan politik Malaysia hari ini daripada kesunyian Mahathir ketika semua ini berlaku.

Gempa bumi politik Malaysia nampaknya tidak dapat dielakkan lagi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-