- 12 January 2020
Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa kekurangan kecerdasan emosi dalam menangani isu pemasangan tanglung dan tulisan Jawi.
Berikutan itu, tindakan kerajaan yang bersungguh-sungguh mempertahankan isu pemasangan tanglung berbanding tulisan Jawi menyebabkan golongan rakyat majoriti tidak berpuas hati kerana melihat kerajaan berat sebelah.
Situasi ini menunjukkan kerajaan berada dalam keadaan tidak bijak dalam menguruskan negara terutama membabitkan isu-isu perkauman di Malaysia, kata pemerhati politik, Professor Dr Teo Kok Seong.
“Kerajaan hari ini saya katakan kekurangan kecerdasan emosi kerana gagal mendapat dan menggunakan maklumat emosi di lapangan dalam menguruskan negara.
“Dalam isu tulisan Jawi yang kesannya begitu berbahaya jika tidak ditangani dengan betul, tiada kenyataan dibuat.
“Tetapi apabila polis terpaksa mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan kongres yang dianjurkan oleh Dong Zong, ada pihak dalam kerajaan pula menghentam polis. Sedangkan polis itu adalah agen keselamatan kerajaan dan bertindak atas risikan.
“Tetapi dalam isu tanglung, sehingga lapan orang Menteri turun ke lapangan memberi kenyataan segera,” katanya di sini.
Jadi, kerajaan jangan marah jika rakyat majoriti memberi tafsiran berbeza kerana dalam isu yang perlu diutamakan tidak dilakukan sebaik-baiknya,” tambah Teo.
Disebabkan kecelaruan emosi ini kebanyakan rakyat hari ini melihat pentadbiran negara gagal, apatah lagi ketenteraman dan perpaduan antara etnik semakin kritikal.
Persepsi rakyat itu terserlah apabila kerajaan tidak banyak membantu dan tiada ketegasan sewajarnya dalam menangani isu-isu yang mendapat perhatian dan keutamaan rakyat.
Teo berkata, melihat perkembangan semasa negara ini juga mengesahkan gabungan Pakatan Harapan walaupun ‘tidur sebantal tetapi masih dibuai mimpi berbeza-beza’ sepanjang 20 bulan.
– MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.