-January 4, 2020 6:20 PM
Setiausaha agung DAP merangkap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
BUTTERWORTH: Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan perbincangan bagi mencari pengganti Maszlee Malik yang meletak jawatan sebagai menteri pendidikan, kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.
Lim yang juga menteri kewangan berkata, adalah lebih baik perkara itu diadakan perbincangan terlebih dahulu, namun keputusan adalah terserah kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Saya rasa lebih baik kita bincang bersama dalam Pakatan Harapan. Semua ada pandangan, biar kita bincang…itu lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian menaik taraf Blok 826 Kuarters Kastam Bagan Jermal di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan yang meminta pengganti Maszlee dilantik dalam kalangan ahli akademik untuk mengemudi kementerian itu.
Maszlee mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai menteri pendidikan berkuat kuasa semalam dalam sidang media di pejabatnya di kementerian itu, pada Khamis.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung desas-desus yang menyatakan Mustapa Mohamed antara nama yang disebut untuk menggantikan Maszlee, Lim berkata, beliau tidak tahu berhubung perkara itu.
“Saya tidak tahu siapa yang akan dilantik kerana saya bukan perdana menteri…tetapi saya yakin ia (pengganti) tentulah seseorang daripada Pakatan Harapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.