Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berharap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dapat meneruskan dan mempertimbangkan usaha-usaha Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam meningkatkan isu pendidikan.
Katanya, guru-guru di sekolah masih memerlukan penyelesaian yang antaranya termasuk mengurangkan bebanan kerja guru dan kemelut isu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan untuk semua khasnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU)
“Namun malangnya negara kita telah ditentukan dengan hala tuju politik dan bukan pendidikan yang sebenar.
“Pihak NUTP amat berharap Dr Mahathir dapat mempertimbangkan serta mengambil kira kesemua perkara-perkara yang telah diutarakan agar dapat menjaga institusi pendidikan negara seterusnya Malaysia sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminuddin yang turut meluahkan rasa dukacita atas keputusan Dr Maszlee yang meletakkan jawatannya mulai esok.
“Pihak NUTP telah melihat kesungguhan beliau sebagai seorang akademik untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara kita yang merangkumi seramai 5 juta pelajar, 450 ribu orang guru dan 150 ribu orang staf sokongan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Presiden NUTP itu turut menyenaraikan pelbagai program yang menurutnya dijalankan dengan baik oleh menteri berkenaan.
“Beliau telah memulakan pelbagai program dan berusaha ke arah sistem pendidikan yang lebih baik seperti berusaha membaik pulih sekolah-sekolah daif di Malaysia.
“Mengurangkan korupsi di KPM, menyediakan jalinan internet yang cepat untuk kegunaan guru-guru, program sarapan pagi dan pelbagai usaha yang masih tidak dirakamkan,” katanya.
Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang tadi.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.
"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.
Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan pengganti Maszlee akan ditentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.