Showing posts with label NUTP. Show all posts
Showing posts with label NUTP. Show all posts

Tuesday, March 10, 2020

NUTP harap Jawi di sekolah Cina dan Tamil diteruskan

BERITA
Ramieza Wahid

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“NUTP pun turut mengharapkan menteri baru meneruskan usaha menyisipkan (pengenalan) tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sebagaimana perancangan asal KPM tanpa tunduk pada mana-mana pihak yang menentang.

“Kerana usaha dan kajian bagi melaksananya telah lama dibuat oleh pakar pakar pendidikan,” kata presidennya Aminuddin Awang ketika dihubungi Malaysiakini.

KPM memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi secara pilihan semasa pentadbiran menteri pendidikan lama Maszlee Malik bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Tiga halaman diperuntukkan bagi pembelajaran asas tersebut. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan hebat beberapa pihak, termasuk NGO berpengaruh China Dong Zong.

Sementara itu, NUTP juga berkata KPM meneruskan usaha menangani beban guru, tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan memastikan bekalan talian Internet di sekolah berfungsi dengan baik.

NUTP turut menyambut baik tindakan Muhyiddin Yassin memecahkan pentadbiran pendidikan kepada kementerian pendidikan dan kementerian pengajian tinggi.

Jelasnya, ini kerana pentadbiran terdahulu jelas memperlihat beban berat yang ditanggung menteri pendidikan dan beberapa bidang juga gagal mendapat perhatian.

“Apa yang boleh nampak sebelum ini, sektor pengajian tinggi kurang mendapat fokus.

“Dengan adanya dua kementerian ini, diharapkan tiada lagi bahagian atau bidang yang terkeluar daripada radar pemacuan kecemerlangan oleh menteri,” katanya lagi.

Dua kementerian itu pernah berpecah di erah pentadbiran BN sebelum ini.

Menteri Pendidikan kini diambil alih oleh Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama timbalannya, Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi pula bakal diurus oleh Dr Noraini Ahmad bersama timbalannya, Dr Mansor Othman.

Thursday, January 2, 2020

NUTP harap PM pertimbangkan usaha Dr Maszlee

BERITA

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berharap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dapat meneruskan dan mempertimbangkan usaha-usaha Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam meningkatkan isu pendidikan.

Katanya, guru-guru di sekolah masih memerlukan penyelesaian yang antaranya termasuk mengurangkan bebanan kerja guru dan kemelut isu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan untuk semua khasnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU)

“Namun malangnya negara kita telah ditentukan dengan hala tuju politik dan bukan pendidikan yang sebenar.

“Pihak NUTP amat berharap Dr Mahathir dapat mempertimbangkan serta mengambil kira kesemua perkara-perkara yang telah diutarakan agar dapat menjaga institusi pendidikan negara seterusnya Malaysia sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aminuddin yang turut meluahkan rasa dukacita atas keputusan Dr Maszlee yang meletakkan jawatannya mulai esok.

“Pihak NUTP telah melihat kesungguhan beliau sebagai seorang akademik untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara kita yang merangkumi seramai 5 juta pelajar, 450 ribu orang guru dan 150 ribu orang staf sokongan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Presiden NUTP itu turut menyenaraikan pelbagai program yang menurutnya dijalankan dengan baik oleh menteri berkenaan.

“Beliau telah memulakan pelbagai program dan berusaha ke arah sistem pendidikan yang lebih baik seperti berusaha membaik pulih sekolah-sekolah daif di Malaysia.

“Mengurangkan korupsi di KPM, menyediakan jalinan internet yang cepat untuk kegunaan guru-guru, program sarapan pagi dan pelbagai usaha yang masih tidak dirakamkan,” katanya.

Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang tadi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.

"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan pengganti Maszlee akan ditentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi.

Monday, January 14, 2019

Sistem pengecaman wajah akan digunakan di sekolah

Anne Muhammad 
Diterbitkan Hari ini 2:28 tengahari


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan lima inisiatif bagi memansuhkan tugas perkeranian guru bermula bulan ini.

Menurutnya langkah tersebut merupakan tindakan permulaan yang bersifat intervensi jangka pendek itu dirangka antara Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan kementeriannya sejak Julai lalu.

Katanya, ia merangkumi usaha memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi yang membabitkan tiga intervensi demi merungkai kemelut pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Inisiatif kedua ialah pengurusan data dan sistem dalam talian, merangkumi pelaksanaan dua intervensi yang menyaksikan semua pengumpulan data diambil daripada sumber maklumat sedia ada dalam sistem Kementerian Pendidikan.

“Sistem kehadiran murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya sebagai sumber rekod, justeru guru tidak lagi perlu mengisi buku jadual kedatangan murid.

“Teknologi menyaksikan penggunaan sistem ‘pengecaman wajah’ yang lazimnya wujud dalam telefon pintar, justeru kita sedang meneliti kemungkinan menggunakan pendekatan ini, namun bukan dalam jangka pendek.

“Seiring pemansuhan peperiksaan Tahap 1 (murid tahun satu, dua dan tiga), sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan literasi dan numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid,” katanya.

Maszlee berkata demikian ketika menyampaikan amanat pendidikan, bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’, di Universiti Putra Malaysia, Serdang, hari ini.

Maszlee berkata, selain itu inisiatif lain juga merangkumi penyeragaman borang dan proses pemantauan menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi dibebani tugas perkeranian.

“Inisiatif terakhir ialah penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, menerusi dua intervensi untuk memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

“Lima inisiatif ini hanya langkah pertama, manakala percaturan fasa kedua membabitkan penyediaan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran terbaik.

“Kementerian dalam penelitian khas untuk melihat semula sistem latihan warga pendidik di Insititut Pendidikan Guru (IPG) supaya ia diperkasakan, bukan hanya sekadar menukar nama maktab saja,” katanya.

Monday, December 18, 2017

Hak guru berhimpun sokong 'Cikgu Azizan', kata kementerian

Berita Terkini

Kementerian Pendidikan tidak akan menghalang mana-mana guru yang ingin berhimpun dan memberikan sokongan jika ada guru terlibat dalam kes mahkamah.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu seorang guru yang dikenali sebagai 'Cikgu Azizan' yang dihadapkan ke mahkamah esok atas dakwaan menyerang pelajar.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kenyataan 15 Disember lalu menggesa guru di seluruh negara memberikan sokongan kepada 'Cikgu Azizan' dengan hadir ke perbicaraan di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pada jam 8.30 pagi, 19 Disember ini.

Menurut laporan Bernama hari ini, Mahdzir berkata isu kehadiran di mahkamah adalah hak peribadi termasuk bagi guru.
"Saya tiada halangan jika guru ingin berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang terlibat dalam kes mahkamah.

"Kalau jadi pada rakan kita, kita juga akan hadir, begitu juga dengan warga guru," kata Mahdzir yang turut mengongsikan kenyataannya itu di Facebook.

Guru tersebut didakwa menghukum pelajar atas kesalahan disiplin seperti menghidu gam, terlibat dalam pergaduhan dan membuli pelajar lain.

Dia didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan berhadapan hukuman setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Isu tersebut menjadi tular dengan ramai pengguna laman sosial menggunakan #PrayForCikguAzizan bagi menyatakan sokongan mereka terhadapnya.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/405846#FVPWP6yrQMEKJf16.99

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-