Thursday, January 2, 2020

Petisyen gesa Maszlee kekal menteri raih lebih 100k tandatangan

BERITA

Suatu petisyen dalam talian menggesa Dr Maszlee Malik kekal sebagai Menteri Pendidikan yang baru dilancarkan petang tadi mendapat sambutan hangat.

Setakat berita ini ditulis pada jam 9.20 malam, petisyen tersebut telah meraih sebanyak 114,176 tandatangan dan masih terus menerima sokongan.

Pada petisyen yang dimulakan oleh individu bernama Tuah Kencana dinyatakan,"keputusan (Maszlee) meletakkan jawatan adalah satu kehilangan besar buat negara.

"Mewakili kumpulan masyarakat, kami memohon agar Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sebagai negarawan terulung untuk mengembalikan Maszlee Malik untuk menggalas tanggungjawab sebagai menteri pendidikan," kata kenyataan itu.

Menurut petisyen itu lagi, usaha Maszlee sebagai menteri pendidikan "telah dibayangi dengan laporan-laporan negatif yang telah disensasikan oleh pihak yang berkepentingan."

"Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan telah berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang telah terbukti memberi manfaat kepada pelajar, guru-guru dan masyarakat. KPM dibawah kemudi YB (Maszlee) telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan," kata petisyen itu.

Ia turut menyenaraikan sumbangan Maszlee sepanjang tempoh singkat memegang jawatan menteri pendidikan, antaranya,"sifar sekolah daif, program sarapan pagi percuma, program pertukaran guru "suka sama suka", penambahbaikan pendidikan untuk pelajar OKU, perkhidmatan Internet kelajuan tinggi, peningkatan program TVET dan menjaga kebajikan guru-guru."

Petang tadi, dalam suatu sidang media khas di Putrajaya, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.
"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Dalam ucapannya, bekas pensyarah yang kebelakangan ini kerap menjadi sasaran kritikan itu juga menyenaraikan pencapaian Kementerian Pendidikan sepanjang pengawasan beliau.

Antaranya, hampir 90 peratus projek sekolah daif yang diusahakan siap lebih awal.

"Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di seluruh negara. Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana tidak berada di sekolah.

"Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada warga sekolah, gerakan Malaysia Membaca serta bacaan semula Auku di Parlimen juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan," kata Maszlee.

Sejurus tamat sidang media itu, Maszlee yang kelihatan sebak meninggalkan perkarangan KPM dengan memandu sendiri kenderaan peribadinya, sebuah Perodua Myvi.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menerima peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang berkuat kuasa esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata Maszlee telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan kepada beliau pada hari ini.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota kabinet.

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-