Tuesday, January 21, 2020

PH tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu

Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@bh.com.my
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
 NSTP/Rosdan Wahid

KAJANG: Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan PAS sebagai rakan sekutu dalam gabungan parti di bawahnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PH adalah gabungan berasaskan prinsip kepercayaan dan hormat menghormati, sekali gus sebarang usaha memasukkan parti lain ke dalam PH mesti berasaskan konsensus.

“PH utuh dan tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu. Kalau pun ada idea dan percubaan memasukkan PAS, ia mesti berasaskan prinsip konsensus, bukannya majoriti.

“Jadi saya tengok buat masa sekarang, cubaan memasukkan PAS itu kekal sebagai satu khabar politik biasa dan saya tidak nampak sebab serta alasan untuk PH sekarang ini menerima keanggotaan baharu,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pra Pelancaran Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Program Food Bank Malaysia, di sini, hari ini.

Saifuddin mengulas laporan portal berita yang mendakwa PAS mungkin akan diberi peranan dalam Putrajaya untuk menarik sokongan rakyat kepada kerajaan diterajui PH ketika ini.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menolak sebarang gerakan atau cadangan membawa masuk PAS menyertai kerajaan semata-mata mahu menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan tiada keperluan ketika ini untuk ‘menyerap’ PAS ke dalam Putrajaya atau negeri dikuasai PH atas alasan pengaruh parti itu mampu memberi kelebihan kepada kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Presiden PH menyifatkan rombakan atau pembaharuan secara drastik dalam kerajaan Persekutuan tidak perlu dilakukan memandangkan PH masih mendapat sokongan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-