Thursday, March 26, 2020

M'sia teliti kaedah rawatan, ubat baru pulihkan pesakit Covid-19

Hariz Mohd
Diterbitkan Hari ini 8:26 pm

Kementerian Kesihatan sedang meneliti kaedah rawatan dan ubatan baru untuk memulihkan pesakit Covid-19, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, ia termasuk rawatan perubatan yang digunakan China untuk merawat pesakit Covid-19 di negara itu, serta kaedah yang digunakan pihak berkuasa kesihatan di sana yang melibatkan penggunaan plasma darah pesakit yang sudah pulih untuk merawat pesakit baru.

Perkara ini dibincangkan dengan pihak berkuasa kesihatan China hari ini melalui telesidang yang diaturkan menteri luar, katanya.

"Kita sedang melihat untuk belajar perkara baru, sama ada penggunaan ubat jenis baru, atau penggunaan darah. Termasuk ubat baru dari China, dan Avigan dari Jepun.

"Tetapi kita dimaklumkan yang ubat-ubat ini ada kesan sampingan. Walaupun ia tidak berdaftar di Malaysia, kita boleh luluskan untuk digunakan di sini, tetapi kita perlu mengkaji kesan sampingannya," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, antara contoh kesan sampingan ubat-ubatan tersebut adalah cirit-birit dan ruam.

Katanya lagi, kemneterian juga perlu meneliti kemungkinan komplikasi lain, termasuk sama ada ubat tersebut berisiko kepada buah pinggang.

"Ada banyak komplikasi yang boleh timbul daripada ubat baru jika kita tidak membuat kajian dengan betul.

"Ia boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit. Jadi kita perlu menelitinya," katanya lagi.

Berkenaan penggunaan plasma darah, Noor Hisham berkata kaedah itu memerlukan mesin khas, di mana plasma daripada darah pesakit yang sudah pulih boleh digunakan kembali.

"Bagaimanapun, kita masih tidak pasti sama ada kaedah ini betul-betul berjaya. Jadi buat masa sekarang kita kena dengar pengalaman mereka dahulu kerana mereka telah melakukannya."

Pada bulan lalu, Reuters memetik seorang ketua hospital di Wuhan sebagai berkata, penggunaan plasma daripada pesakit yang telah sembuh menunjukkan keputusan awal yang menggalakkan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketika badan itu berkunjung ke Malaysia untuk melihat bagaimana negara berdepan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, WHO berpuas hati dengan cara Malaysia mengendalikannya.

"Mereka datang ke sini dan melihat persediaan kita, dan mereka berpuas hati," katanya.

Antara kaedah yang disebut Noor Hisham ialah perintah kawalan pergerakan dan pengesanan kes yang aktif.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-