Monday, March 30, 2020

Pakar kardiologi kena dakwa

MyMetro
Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my

PAKAR jantung, Dr Ong Hean Teik (kiri) diiringi polis ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang. 
FOTO Danial Saad

PAKAR kardiologi yang mencetuskan kekecohan selepas bertelagah dengan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana dilarang berjoging, 19 Mac lalu didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Dr Ong Hean Teik, 60, didakwa menghalang penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa MBPP, Muhd Alif Aizad Abd Latif melakukan tugas di Taman Bandaraya, kira-kira 6 petang 19 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa atas kesalahan keluar dari rumahnya di Jalan Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya mengikut Seksyen 3(1) Akta Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) akta sama iaitu denda maksimum RM1,000 dan hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Dr Ong mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Pendakwaan kes ini dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan, manakala Hean Teik diwakili peguam bela, Bala Mahesan.

Yazid memaklumkan kepada mahkamah bahawa Seksyen 186 Kanun Keseksaan adalah tidak boleh diikat jamin kerana salah satu sebagai Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami juga meminta syarat tambahan kepada tertuduh supaya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah kerana kes berkenaan mendapat perhatian umum,” katanya.

Jamaliah membenarkan Hean Teik diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan RM5,000 bagi jaminan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 7(1).

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes berkenaan pada 9 Jun nanti.

Terdahulu, video berdurasi empat minit menunjukkan Hean Teik bertelagah dengan seorang anggota penguat kuasa MBPP tular di media sosial, minggu lalu.

Dalam video berkenaan, dia mempersoalkan larangan jongging oleh anggota penguat kuasa berkenaan dengan memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan perintah berkurung dan lokasi itu adalah jalan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 1:20 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-