Thursday, March 19, 2020

Rakyat Malaysia dipercayai sertai himpunan tabligh di Sulawesi, kata kedutaan

Bernama
-March 19, 2020 7:36 AM

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, berpuluh-puluh orang dipercayai sudah berada di Sulawesi Selatan untuk menyertai perhimpunan tabligh, meskipun mereka sudah melarang rakyat Malaysia berbuat demikian.
 (Gambar Facebook Aalmi Tablighi Shura Elders)

JAKARTA: Acara “Ijtima of Asia 2020” di Indonesia yang dilaporkan bakal dihadiri ribuan jemaah tabligh, dipercayai turut dihadiri rakyat Malaysia.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, meskipun pihak kedutaan sudah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

“Belum ada jumlah tepat rakyat Malaysia yang menghadiri acara itu, kami sedang berusaha mengesan mereka yang terbabit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, berdasarkan notis konsular agar rakyat Malaysia yang berada di Indonesia mendaftar menerusi e-mel dengan kedutaan di mwjakarta@kln.gov.my atau jkonsular@gmail.com, dipercayai turut didaftar ialah beberapa individu yang menyertai acara itu.

Menurut sumber Bernama, sejumlah 83 rakyat Malaysia sudah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan pihak berkuasa Indonesia tidak mengeluarkan sebarang surat kebenaran (permit) untuk acara itu yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac, dan dalam proses berunding dengan pihak penganjur agar mereka bersurai.

Pada 27 Feb hingga 1 Mac lepas, dilaporkan lebih 10,000 orang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang kemudian ada di antara pesertanya didapati positif Covid-19 dan menyumbang kepada peningkatan kes itu di Malaysia.

Pada 14 Mac lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu notis konsular melarang rakyat Malaysia tidak menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar di Indonesia susulan pandemik Covid-19, termasuk menghadiri acara perhimpunan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-