Friday, April 17, 2020

201 individu pulih Covid-19 berbanding 69 kes baru

Faiz Zainudin
-April 17, 2020 5:34 PM


PUTRAJAYA: Sebanyak 201 kes jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 2,967 yang sehingga kini mencecah 3,000 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 2 lagi korban baru jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 1 semalam menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan seramai 86 orang.

Beliau juga berkata sebanyak 69 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 110 kes semalam, menjadikan jumlah mangsa 5,251 orang sehingga kini.

Jumlah jangkitan baru sebanyak 69 hari ini antara yang terendah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu jumlah yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berjumlah 51 orang.

“Daripada jumlah itu 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 2,198 yang masih dirawat.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 56.5% secara keseluruhan individu yang pulih iaitu 3 kali ganda daripada jumlah kes baru yang dilaporkan.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-85 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dari kluster PUI Bali.

Kematian ke-86 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok, juga mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 sebelum ini.
601 kes bukan warganegara
Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah keseluruhan positif di Malaysia, 601 daripadanya bukan warganegara Malaysia.

“KKM mengesan 601 kes positif Covid-19 iaitu 356 kes sedang dirawat, 242 kes telah pulih dan 3 kes kematian di kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Mereka adalah termasuk kumpulan pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka,” katanya.

Noor Hisham berkata, kes peningkatan mendadak di Singapura disebabkan warga asing perlu dijadikan iktibar memandangkan 50% daripadanya akibat pihak luar.

“Peningkatan kes di Singapura yang dikaitkan dengan penularan Covid-19 di asrama pekerja. Ini dilaporkan menyumbang kepada lebih 50% keseluruhan kes positif di negara tersebut.

“Mengambil iktibar daripada situasi ini dan memandangkan Malaysia juga mempunyai ramai pekerja asing, langkah-langkah perlu diambil bagi mencegah penularan Covid-19 khususnya di kalangan warga asing,” katanya.

Katanya, bagi industri yang menggunakan banyak tenaga kerja, termasuk daripada kalangan warga kerja asing, majikan bertanggungjawab memastikan langkah pencegahan dilaksanakan di tempat kerja.

“Pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki premis, penyediaan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer, kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya ruang guna sama.

“Amalan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangya 1 meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan seperti. Elakkan pekerja tidak berkumpul di ruang sempit, elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa, amalkan jarak 1 meter semasa bercakap,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-