30/04/2020
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 7 Ramadan 1441H, Khamis – Prof Dr Ahmad Atory Hussain bersetuju cadangan melaksanakan kad pengenalan (MyKad) baharu bagi membanteras sindiket penjualan kad pengenalan palsu dan lambakan pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini.
Cadangan itu bersesuaian, ditambah pula Malaysia sudah lama tidak menukar Mykad kepada yang baharu, katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Bagaimanapun beliau berkata, tindakan lebih penting adalah kerajaan Perikatan Nasional membanteras terlebih dahulu dalang dan sindiket MyKad palsu.
“Perlu kenal pasti apa punca berlakunya kad pengenalan palsu ini secara berleluasa sebelum kita membuat MyKad baharu.
“Idea itu baik, kita pun dah lama tak tukar kad pengenalan, tapi kita kena ingat peruntukannya tinggi.
“Jadi sebaiknya perlu dibanteras dahulu pihak yang bertanggungjawab dalam sindiket kad pengenalan palsu ini,” katanya.
Semalam, Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari melancarkan petisyen kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak supaya kad pengenalan baharu diperkenalkan bagi membanteras sindiket MyKad palsu.
Petisyen yang dilancarkan di platform change.org (https://bit.ly/KadPengenalanBaru) semalam, kini telah memperoleh sebanyak 38,888 tandatangan dari rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut cadangan itu, Prof Atory menegaskan, kerajaan perlu secara komited mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab ‘membenarkan’ sindiket berkenaan aktif.
“Kalau dah dibuat penguatkuaasaan bersunggguh-sungguh, tapi tidak berjaya, baru buat kad pengenalan baru,” katanya.
Kerajaan Malaysia, katanya, perlu melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih tegas terutama di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga mereka yang berada di laluan-laluan tikus di merata negeri.
“Sewajarnya tubuhkanlah jawatankuasa khas untuk membendung sindiket ini. Kerana jika tidak, isu ini akan tetap berulang sekiranya penguatkuasaan tak seberapa, kita pula mahu buat MyKad yang baharu tetapi dalang MyKad palsu tidak dikenakan tindakan,” katanya.
November tahun lalu, JPN merekodkan sebanyak 1,047 tangkapan melibatkan orang awam dibuat dan didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Timbalan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, tangkapan itu hasil daripada 2,100 operasi penguatkuasaan yang dijalankan terhadap sindiket penipuan dan pemilikan dokumen pengenalan diri palsu atau milik orang lain dari tahun 2013 hingga 30 September 2019.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.