Saturday, April 4, 2020

PKP: Pegawai sebat remaja wajar diberi penghargaan

Tindakan hanya mahu pastikan penularan wabak COVID-19 terkawal
04/04/2020


BANGI, 10 Syaaban 1441H, Sabtu – Tindakan seorang pegawai polis berpangkat ASP menyebat enam remaja lelaki kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar diberikan penghargaan.

Ini kerana, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari berkata, pegawai berkenaan hanya mahu memastikan penularan wabak pandemik COVID-19 dihalang dan tidak lebih daripada itu.

Sehubungan itu, beliau tidak dapat melihat lojik serta kewajaran pegawai polis berkenaan perlu dikenakan tindakan.

“Pegawai Polis berpangkat ASP di Kunak wajar mendapat perhatian, penghargaan bukan disiasat di atas ketegasannya.

“…menjalankan tugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar pematuhan perintah meningkat untuk menghalang penularan dan penyebaran COVID-19,” katanya dalam status di Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pegawainya yang dilihat secara agresif menyebat enam remaja lelaki kerana ingkar PKP dalam satu kejadian di Kunak, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, jika dilihat dari sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tidak wajar, namun dari segi moral, itu adalah umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang ingkar arahan.

“Sebelum kejadian itu pegawai berkenaan telah menegur kumpulan remaja itu sebanyak dua kali tetapi mereka tetap tidak bersurai malah mentertawakan teguran berkenaan sambil menghisap rokok.

“Kejadian itu berlaku di Kampung Pangi Tengah, Kunak ketika pasukan polis sedang membantu menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung sebelum terserempak dengan kumpulan remaja yang sedang berkumpul,” katanya.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi di media sosial terutama golongan netizen yang memuji langkah pihak berkuasa yang tegas dalam melaksanakan tugas memastikan rakyat mematuhi PKP.

Bagaimanapun, ada juga segelintir pengguna alam maya yang mempersoalkan tindakan memukul itu kerana dikatakan boleh mendatangkan kecederaan kepada remaja terbabit.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-