Sunday, April 5, 2020

PKP: Rakyat tak patut maki hamun polis

'Mereka berpanas, berhujan, bertugas dari pagi sampai ke malam'
05/04/2020



KUALA LUMPUR, 11 Syaaban 1441H, Ahad – Rakyat tidak sepatutnya menggunakan kata-kata kesat dengan memaki hamun pihak berkuasa yang menjalankan tugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa adalah manusia biasa yang tidak lekang daripada mengalami kepenatan ketika menjalankan tanggungjawab.

“Kita kena ingat bahawa polis manusia biasa, kita yang duduk di rumah memikirkan pelbagai perkara, jadi mereka juga berpanas, berhujan, bertugas dari pagi sampai ke malam jaga keselamatan.

“Kita kena beri pertimbangan sewajarnya, kalau niat baik, selamatkan nyawa, tetapi dimaki hamun, pasti ada yang buat tindak balas.

“Jalan terbaik, tolong beri kerjasama kepada polis untuk menyelamatkan kita semua,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk isu anggota polis yang sedang disiasat, selepas didakwa merotan remaja kerana ingkar PKP.

Terdahulu, tersebar sebuah video berdurasi 26 saat memaparkan seorang pegawai polis bertindak merotan lima remaja terbabit menggunakan ranting kayu kerana ingkar arahan untuk balik ke rumah masing-masing.

Kejadian difahamkan berlaku di Kampung Panji, Kunak berdasarkan papan tanda yang terdapat dalam video tular.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, dari aspek penguatkuasaan, tindakan pegawai itu tidak wajar namun daripada segi moral ia adalah untuk memberi pengajaran kepada remaja terbabit kerana mengingkari arahan PKP.

“Pegawai ini, kita akan ambil tindakan sebab ia mencerminkan perbuatan tidak sewajarnya oleh pegawai polis dalam melaksanakan PKP.

“Walaupun niat dia baik, cara dia tidak betul. Perlu mematuhi SOP sedia ada dan tidak melanggar piawaian polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-