Sunday, April 5, 2020

Surat KPDNHEP benarkan syarikat arak beroperasi tular


Sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak, Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi tular di media sosial.

Dalam surat bertarikh 31 Mac yang dilihat Malaysiakini, kementerian berkenaan membenarkan syarikat pembekal bir itu beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

"Berhubung permohonan tuan/puan pada 24 Mac 2020, setelah meneliti dan menyemak yang dikemukakan kementerian mendapati permohonan tuan/puan memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.

"Sehubungan itu, kementerian mengesahkan dan bersetuju bahawa aktiviti perniagaan tuan/puan boleh dibuka bagi memastikan pembekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP. Pengesahan ini juga tertakluk kepada syarat-syarat seperti lampiran A," katanya dalam kandungan surat tersebut.

Surat itu di tandatangani oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP Hasnol Zam Zam Ahmad ditujukan kepada Pengurus Besar Heineken Malaysia Bhd.

Ketika dihubungi sumber Heineken mengesahkan ketulenan surat itu.

PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Pada mulanya ia berakhir pada 31 Mac tetapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melanjutkannya sehingga 14 April ini.

Sepanjang PKP, perniagaan dan perkhidmatan kategori tidak penting mesti ditutup sementara orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah atas urusan penting, antaranya untuk membeli barang makanan.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi kementerian berkenaan bagi mendapatkan maklum balas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-