Thursday, May 14, 2020

36 ADUN menghadap Sultan Kedah esok


Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi, melambai tangan kepada pihak media selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di kediaman rasmi Menteri Besar di Alor Setar, Isnin lalu.
 - FOTO BERNAMA

ALOR SETAR: Seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dijadualkan menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di Wisma Darul Aman, di sini, esok.

Beberapa ADUN daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, hari ini.

ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata beliau telah menerima surat jemputan daripada Istana Anak Bukit, hari ini, untuk menghadap Sultan Sallehuddin pada petang esok.

"Betul, saya baru terima... dapat jemputan. Jemputan saya untuk sesi petang," katanya yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah.

ADUN daripada DAP, Teh Swee Leong (Kota Darul Aman), juga mengesahkan menerima jemputan itu.

"Esok, akan menghadap Sultan Kedah pada jam 3.30 petang," katanya.

Seorang ADUN PAS yang enggan dinamakan pula berkata, beliau dijemput menghadap Sultan Sallehuddin di Wisma Darul Aman pada jam 10 pagi.

ADUN Bebas, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) turut mengesahkan menerima surat jemputan itu untuk hadir pada sebelah pagi.

Jemputan menghadap itu dipercayai susulan perkembangan politik Kedah.

Selasa lalu, ADUN Lunas, Azman Nasrudin serta Dr Robert mengumumkan keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhammad Sanusi mendakwa empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz yang merupakan Timbalan Presiden parti itu. 
BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-