Tuesday, May 5, 2020

PH terbuka terima PPBM kembali, kata Anwar

Faiz Zainudin
-May 5, 2020 4:12 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) terbuka jika PPBM mahu kembali menyertai gabungan itu.

Pendirian itu dibuat Presiden PKR Anwar Ibrahim sambil mengingatkan supaya kesilapan lalu tidak berulang.

“Keputusan itu harus dibuat PPBM, ada 2 PPBM sekarang, keputusan harus dibuat sebagai 1 parti, PH mengambil sikap terbuka, tapi harus patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori dalam PH, termasuk sistem menolak sistem korup dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan-kesilapan yang lalu,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir sebagai berkata kembali bersama PH merupakan satu-satunya pilihan yang ada buat PPBM bagi memastikan parti itu terus mendapat tempat semasa pilihan raya umum akan datang.

Sandiwara purba

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyifatkan bekas pemimpin PKR yang meluahkan rasa sedih selepas dipecat dari parti atas perbuatan khianat sebagai sandiwara semata-mata.

Katanya, keputusan PKR memecat keahlian berdasar bukti yang kuat.

“PKR pecat berdasarkan bukti dan keputusan oleh lembaga disiplin, kebanyakan yang sudah lompat, ada seorang timbalan menteri kata ‘saya sedih, saya dipecat’, kamu keluar bulan Februari, kamu masuk kumpulan khianat, jatuhkan kerajaan.

“… bila kena pecat, buat-buat sedih, ini sandiwara wayang purba apa ini, tidak ada integriti, bila dipecat persoal kononnya tidak ikut proses, yang khianat parti itu ikut proses?” soal Anwar.

Semalam Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara mengucapkan “terima kasih” kepada bekas bosnya dalam PKR kerana memecat beliau pada hari jadinya.

Anwar berkata, bagi mereka yang digantung keahlian, mereka perlu memberi bukti untuk memastikan mereka boleh terus kekal dalam parti.

“Soal mereka pernah menjadi penyokong pemimpin yang khianat itu, itu hak mereka, kita tak boleh ungkit, parti ini demokratik, nak masuk nak keluar, kita ada sejuta lebih ahli,” katanya.

Semalam PKR mengumumkan 2 wakil rakyatnya adalah antara 348 ahli yang dipecat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu berikutan syor daripada lembaga disiplin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-