KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamed wajar melupakan hasrat untuk kembali bergelar perdana menteri biarpun mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP.
Bekas perdana menteri dua kali itu sewajarnya memberi laluan kepada orang lain memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negara.
Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob seperti dipetik Harakah Daily berkata, sudah sampai masanya Dr Mahathir memberi laluan kepada orang lain untuk pegang jawatan itu.
“Tidak perlu lagi jawatan (PM) berkenaan diterajuinya, tetapi kita sangat menghormatinya terutama penglibatan sepanjang menerajui politik negara sebelum ini.
“Bagi saya beliau lebih sesuai menjadi penasihat kepada pemimpin negara sekarang kerana memiliki pengalaman luas,” katanya.
Sebelum ini Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilaporkan memberitahu parti itu menyokong Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.
Bagaimanapun Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan tidak adil memaksa Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.
Menjelang PRU-14 Dr Mahathir dicalonkan PH untuk menjadi Perdana Menteri dengan janji bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan beliau dalam tempoh dua tahun.
Namun, keengganan ahli parlimen Langkawi dan bekas pengerusi Bersatu itu berbuat demikian menyaksikan berlakunya krisis dalam PH sehingga ia akhirnya tumbang pada Februari lalu.
Dr Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 di bawah BN dan selama 22 bulan di bawah PH, dari Mei 2018 hingga pertengahan Februari lalu.
Selepas meletak jawatan susulan krisis politik berkenaan pada Februari lalu, Dr Mahathir dilantik semula sebagai Perdana Menteri sementara.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.