Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
am@hmetro.com.my

PKR menolak cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan semula dirinya sebagai Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersama Ahli Parlimen PKR, yang berlangsung hari ini.
Pada kenyataan, PKR memaklumkan kekal dengan konsensus dicapai PH untuk mencalonkan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
"PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.
"Bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kekal dengan konsensus PH mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya.
Kata kenyataan, PKR menghargai usul dan usaha DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang secara konsisten menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
"PKR mengambil kira pandangan semua pihak dalam mencari jalan terbaik mempertahankan kebajikan rakyat dan membawa keadilan untuk semua rakyat.
"Permasalahan berbangkit apabila Dr Mahathir berpendirian mahu kembali buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri," menurutnya.
PKR juga akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut yang mungkin dibuat pada bila-bila masa.
"PKR komited untuk terus mengukuhkan PH dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 4:09 PM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.