Saturday, July 11, 2020

Dr Mahathir boleh kerjasama dengan kerajaan jika blok Bebas, kata Annuar

Faiz Zainudin
-July 11, 2020 4:47 PM

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, berbeza dengan pembangkang, Dr Mahathir Mohamad akan bersama-sama kerajaan dalam isu nasional dan kepentingan rakyat.

KUALA LUMPUR: Annuar Musa menyambut baik keputusan Dr Mahathir Mohamad bersama-sama pengikutnya untuk berada di blok Bebas.

Setiausaha agung BN itu berkata, keputusan Mahathir untuk tidak berada bersama-sama gabungan Pakatan Harapan (PH) boleh membuka ruang kepada kumpulannya bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Yang penting (Mahathir) tidak sokong PH, jadi Bebas lebih baik. Masih ada ruang untuk bekerjasama.

“Seperti yang kita tahu Bebas tidak menggugat (kerajaan) sebaliknya ia boleh main peranan, seperti di PRK Chini ada calon Bebas, tetapi tidak menggugat, begitu juga di Parlimen.

“Saya mengalu-alukannya. Mereka tidak sokong PH. Itu sudah cukup baik, ambil sikap jadi wakil rakyat Bebas. Itu hak mereka yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Sekurang-kurangnya kita ada ruang untuk bekerjasama. Saya percaya Tun tahu politik dan itu pendiriannya,” katanya kepada media selepas hadir ke Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya, di auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata, Mahatahir bersikap terbuka dan akan bersama kerajaan jika ia melibatkan isu nasional demi kepentingan rakyat.

“Saya tidak rasa pendirian Tun berpatah arang berkerat rotan. Saya sangat percaya dalam isu nasioanl dan kepentingan rakyat, Tun akan bersama dengan kerajaan. Itu sememangnya pendirian Tun.

“Pembangkang sifatnya lain. Saya bersyukur beberapa ahli Parlimen duduk sebagai wakil Bebas. Ini sudah beri peluang untuk kita bekerjasama. Kita boleh berbeza pendapat,” katanya.

Semalam Mahathir bersama 5 bekas ahli Parlimen PPBM mengambil langkah membentuk blok Bebas bersama-sama Warisan.

Dalam kenyataan bersama, mereka memaklumkan tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan parti politik yang lain, sama ada PN atau PH.

Lima pemimpin terbabit adalah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-