Friday, July 17, 2020

Letak jawatan PM hanya formaliti – Dr Mahathir

By Wartawan MalaysiaGazette
      - 17 July 2020

Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau melepaskan jawatannya pada 24 Februari lalu hanya untuk formaliti kerana enggan menjadi Perdana Menteri bagi gabungan yang disertai oleh UMNO dan Pas.

Ini kerana, menyertai kerajaan bersama dua parti itu bermakna Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bekerjasama dengan UMNO dan Datuk Seri Najib Razak – parti dan individu yang dikecam semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

‘Dengan itu, katanya, beliau sebenarnya akan menghidupkan semula UMNO dan menjadikannya sebahagian daripada kerajaan.

”Saya akan mengkhianati orang-orang yang menyokong saya dalam pilihan raya. Saya juga akan mengingkari janji saya kepada parti-parti lain dalam gabungan PH (Pakatan Harapan).

”Saya tidak dapat menerima cadangan bahawa saya menjadi Perdana Menteri gabungan yang tidak suci ini.

”Oleh kerana Muhyiddin sudah bersedia, saya melepaskan diri dari kumpulannya,” kata Dr Mahathir yang memaklumkan beliau telah dilucutkan daripada keahlian Bersatu dan sebagai pengerusi.

Susulan pelucutan itu, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berkata, beliau telah pergi ke mahkamah untuk mempertikaikan kesahihan tindakan ke atasnya.

Menerusi kenyataan dalam hantaran di Facebooknya, Dr Mahathir mengulangi kenyataan bahawa kerajaan sekarang mempunyai majoriti tipis dengan lebihan dua undi sahaja.

Ia berlaku apabila Najib yang kalah pada PRU14 mencadangkan penubuhan Kerajaan Melayu Islam dengan Pas kerana tahu beliau akan dipenjarakan berikutan jenayah-jenayah yang telah dilakukan.

Tetapi, Dr Mahathir mendakwa Pas dan UMNO tidak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan dan memerlukan lebih banyak sokongan orang Melayu.

“Dia mendakwa Kerajaan PH dikuasai oleh DAP dan DAP akan menghancurkan orang Melayu.

”Untuk menggulingkan DAP, Kerajaan PH mesti digulingkan. Untuk ini Bersatu terpaksa meninggalkan PH dan bergabung dengan UMNO dan Pas untuk membentuk kerajaan baharu.

”Hamzah Zainuddin berusaha mendapatkan ahli UMNO untuk menyokong saya, kerana saya menjadi Perdana Menteri dalam gabungan baru ini, malah mendapatkan Najib untuk menandatanganinya,” katanya.

Namun, Dr Mahathir berkata, beliau menolak cadangan itu, sebaliknya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong dan majoriti pemimpin Bersatu juga menyokong beliau.

”Ketika Bersatu meninggalkan PH, PH terhenti sebagai sebuah kerajaan. Ini bermaksud semua anggota Kabinet kehilangan jawatan menteri. Ini termasuk saya.

”Saya telah kehilangan jawatan sebagai Perdana Menteri. Meletak jawatan hanyalah formaliti,” katanya. 

MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-