Sunday, July 12, 2020

Perasaan marah terhadap PPBM meluas dalam Umno, kata penganalisis

Robin Augustin
-July 12, 2020 5:14 PM

Penganalisis politik Awang Azman Pawi berkata, Najib Razak akan kembali memimpin Umno sekiranya beliau dilepaskan daripada pertuduhan rasuah.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, respons keras Umno berhubung kenyataan menteri PPBM mengenai parti itu menggambarkan perasaan marah yang mendalam dalam kalangan akar umbi Umno terhadap parti pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Walaupun ahli Parlimen Mersing itu meminta maaf atas kenyataan beliau bahawa Umno tidak lagi popular di Sabah, namun kata Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, realitinya akar umbi Umno berasa kecewa atas tindakan PPBM, yang merupakan parti serpihan Umno, ke atas mereka dalam pilihan raya umum ke-14.

“Bekas ahli Umno itu memburukkan parti lama mereka dan melabelkannya sebagai korup. Justeru sukar bagi akar umbi Umno untuk menerima PPBM sama seperti sukarnya akar umbi PAS untuk menerima Amanah.

“Pemimpin Umno boleh bercakap apa-apa sahaja, tetapi ia berbeza di peringkat akar umbi. Bagi saya, itulah sebabnya kenapa ahli Majlis Tertinggi Umno Annuar Musa turut mengubah nada beliau,” kata Awang Azman.
Awang Azman Pawi
Beliau merujuk kepada kenyataan terbaru Annuar bahawa Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan semua kerusi tradisinya sama ada mereka “memenanginya pada pilihan raya umum ke-14 atau pilihan raya sebelum itu”.

Kenyataan Annuar sebelum itu bahawa Umno akan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang dikritik oleh beberapa pemimpin Umno.

“Kenyataan terbaru pemimpin Umno bahawa ia akan mempertahankan kerusinya menggambarkan sentimen akar umbi. Umno perlu mendengar suara itu kerana merekalah yang akan menentukan sama ada ia kembali menjadi parti yang dominan,” katanya.

Katanya, pada pilihan raya umum ke-14, akar umbi Umno melakukan protes terhadap elit mereka, tetapi masih setia pada parti itu dan kebangkitan semula itu terbukti pada siri kemenangannya dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

Azman berkata, terdapat juga cakap-cakap dalam kalangan ahli parti itu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak harus ditonjolkan semula sebagai pemimpin Umno dan BN.

“Sekiranya Najib dilepaskan daripada pertuduhan di mahkamah, beliau hampir pasti akan kembali memimpin Umno,” katanya selain menambah bahawa bekas perdana menteri itu mempunyai sokongan dan jentera yang lebih kuat berbanding Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Wan Agyl Wan Hassan
Dalam pada itu, ketua penerangan Pemuda Umno Kuala Lumpur Wan Agyl Wan Hassan memberitahu FMT berhubung kebimbangan di lapangan bahawa pandangan akar umbi parti itu tidak mendapat pertimbangan yang sepatutnya, dengan merujuk kepada perwakilan Umno dalam Kabinet sebagai contoh.

“Presiden diberikan mandat mewakili Umno, tetapi banyak pihak yang tidak gembira dengan hasilnya,” kata beliau.

“Atas keperluan untuk terus melangkah, terutama susulan krisis Covid-19, ia diketepikan. Tetapi ramai yang percaya bahawa Umno harus memainkan peranan lebih besar, terutama berhubung politik Perikatan Nasional (PN).”

Menurut Wan Agyl, ini kerana Umno menguasai sebahagian besar kerusi dan mendapat sokongan akar umbi.

“Isunya bukan tentang siapakah perdana menteri. Pujian harus diberikan di mana sepatutnya. Pencapaian Muhyiddin baik, tetapi Umno harus mengepalai agenda politik, bukan PPBM.”

Beliau berkata, wujud kebimbangan bahawa Umno memperoleh bahagian yang “tidak memberangsangkan” dalam PN dan ini boleh berlaku sekiranya ia terus bersamanya pada pilihan raya umum ke-15.
Fuad Zarkashi
“Terdapat cakap-cakap dalam kalangan pimpinan bahawa Najib sepatutnya dilantik sebagai presiden Umno dan pengerusi BN agar kita tidak mendapat bahagian yang kurang baik dalam menghadapi pilihan raya umum depan,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Fuad Zarkashi berkata, akar umbi Umno tidak mudah dipengaruhi dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad serta PPBM gagal sama sekali untuk mempengaruhi bahagian Umno supaya beralih kepada parti itu.

“Oleh sebab itu anda boleh kira sendiri jumlah bahagian PPBM walaupun mereka mempunyai kuasa selama 2 tahun ini,” katanya, selain menambah bahawa akar umbi Umno mahu ia menjadi parti dominan semula.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-