Thursday, July 2, 2020

UMNO Sokong Muhyiddin PM PRU-15

MyMetro
Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

Annuar Musa (kiri) beramah mesra dengan penjaja ketika melakukan tinjauan pada program Penyerahan Lesen Terhad kepada Penjaja di Jalan Taman Setapak Indah.
 FOTO ASWADI ALIAS.

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan UMNO selari dengan Pas untuk menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, perkara itu sudah pun dibincangkan di peringkat jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional dua minggu lalu untuk UMNO dan Pas terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

"UMNO dan Pas sudah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional dua minggu lalu dan kita bersetuju untuk terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Kita juga akan terus menjadi anggota Perikatan Nasional malah untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti bersetuju untuk menamakan atau menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.

"Perkara ini akan dibawa ke dalam saluran parti masing-masing tetapi di peringkat jawatankuasa bersama Muafakat Nasional.

"Ia adalah perkara yang sudah pun dibincangkan bersama UMNO jadi pendirian Pas dan UMNO dalam soal ini adalah sama," katanya kepada pemberita pada sidang media di Taman Setapak Indah, hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menyatakan sokongan partinya terhadap kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional.

"PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional demi mensejahterakan negara dan rakyat.

"Pada masa yang sama, PAS menzahirkan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15," katanya.

Terdahulu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyampaikan surat tawaran permit sementara waktu terhad Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada 80 penjaja di Taman Setapak Indah di sini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 6:23 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-