Wednesday, August 5, 2020

Agihan kerusi Umno Pas masih dalam dilema

05/08/2020 7:00 PM

Pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 semakin parah apabila Umno mengumumkan penarikan diri dari perikatan dan menggesa agar Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN).

Namun menurut penganalisis politik Dr Mazlan Ali, pembahagian kerusi dalam MN tanpa Bersatu juga masih kelam kabut dan belum mencapai kata sepakat di peringkat akar umbi.

Kata beliau, khususnya Umno di Pantai Timur, sekiranya pembahagian tidak mendapat persetujuan hierarki yang lebih rendah maka hasilnya akan berlaku sabotaj pimpinan atau ahli akar umbi dalam pilihan raya.

Bagi Umno, sekiranya sesebuah kerusi yang pernah mereka menangi diserahkan kepada Pas maka Umno akan lemah di kawasan tersebut.

Situasi yang agak sengit itu, menurut Mazlan, berlaku kerana kedua-dua parti sebelum mengikat persetujuan kerjasama adalah parti yang bersaing dan bermusuh di kawasan sama sejak berdekad-dekad lalu.

“Saya fikir Pas dan Umno buat masa ini belum teruji dalam soal pembahagian kerusi selepas PRU-14. Dahulu mereka adalah lawan dalam politik, cuma baru-baru ini mereka ikat kerjasama.


“Kalau kita cuba memahami isu-isu di Pantai Timur, asasnya dua parti ini sudah lama berlawan. Mereka bersaing puluhan tahun dan meskipun di peringkat kepimpinan ada persetujuan tetapi kalau kita lihat pada perkembangan politik sekarang, kemungkinan akan berlaku ketidakpuasan hati di peringkat akar umbi.

“Umno berasaskan parti yang walak, bermaksud ketua bahagian itu sangat berkuasa dibahagian dia. Pas pula mempunyai pengaruh besar di Pantai Timur dan Utara.

“Ada juga kemungkinan walak-walak Umno tidak akan terima keputusan pucuk pimpinan menyerahkan kerusi lalu akan berlau “cah keting” atau sabotaj,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Untuk rekod, Umno dan Pas telah mengadakan lebih dua kali rundingan pilihan raya seperti dilaporkan media. Namun rundingan masih di peringkat atasan dan tidak begitu menyentuh isu kerusi, terutama di bahagian Pantai Timur dan Utara Semenanjung yang begitu sensitif.

Hal itu menyebabkan penganalisis politik berpendapat akan berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru antara Pas, Umno dan Pakatan Harapan. Sebagaimana dialami Pakatan Rakyat ketika PRU 2013 lalu apabila Pas tidak berpuas hati KEADILAN meletak calon di kerusi tradisi mereka di Pantai Timur.

Berita penuh : http://suarapakatandaily.com/archives/29068

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-