Thursday, August 6, 2020

RCI Tabung Haji: Dulu kita desak sebab tiada maklumat, kata PAS

N Faizal Ghazali
Diterbitkan Hari ini 12:47 pm
Keputusan kerajaan untuk tidak menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat urus niaga Tabung Haji mungkin dibuat selepas ada perkembangan baru mengenainya, kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah.

Katanya, desakan yang dibuat oleh parti itu sebelum ini sebagai pembangkang kerana ketiadaan maklumat mengenainya.

"Mungkin ada perkembangan baru, sebab dulu kita sebagai pembangkang kita desak RCI sebab banyak maklumat yang kita tidak tahu. Jadi ada munasabahnya untuk kita desak.

"Sekarang kita dalam kerajaan, maklumat yang dulu tidak ada kepada kita, kini sudah ada.

"Jadi keperluan kepada RCI (Tabung Haji) sudah kecil, dulu kita di luar kita minta benda dalam rumah, sekarang kita dalam rumah boleh cari sendiri," katanya kepada media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Zulkifli Mohamad di Dewan Rakyat, semalam, yang menjelaskan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) jika ada keperluan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, PAS tetap akan mengekalkan baiah (sumpah setia) kepada calon-calon yang menyertai pilihan raya.

Namun katanya, seperti kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini - kandungan baiah itu akan menggugur taklid cerai talak tiga.

"Baiah tetap ada, kita PAS ini sejak dulu dah ada baiah. Cuma masa zaman tok guru Nik Aziz (Nik Mat) dia masukkan taklid talak, tetapi presiden buat kenyataan baru ini kita buang taklid talak.

"Baru ini (PRU14) pun tak ada (taklid talak. Kita sebagai parti Islam, baiah itu penting, cuma kandungan. Presiden sebut yang itu akan ditiadakan," katanya selepas merasmikan program Jelajah Urusetia Belia dan Sukan, Muafakat Kelantanku Bersih peringkat DUN Panchor, hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-