Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Thursday, September 24, 2020

Kenyataan Presiden UMNO petanda buruk buat Muafakat Nasional?

Siti Hafidah
ismaweb.net

PAS berkali-kali nyata sokongan kepada Muhyiddin, tapi Zahid berpendirian sebaliknya


BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap petanda buruk kepada Muafakat Nasional.

Terdahulu, Presiden UMNO itu berkata, beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR itu.

“Saya mengikuti sidang media oleh Anwar. Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN adalah sokongan daripada Ahli Parlimen sahaja.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau.

“Saya menghormati pendirian Ahli Parlimen berkenaan,” katanya.

Mengulas situasi itu, Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman secara sinis berkata, Muafakat Nasional yang tidak muafakat daripada pihak UMNO.

Katanya, setelah PAS berkali-kali menyatakan sokongan kepada Muhyiddin serta mengerahkan ahli-ahlinya supaya taat setia kepada PN – walaupun tidak dapat kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah – kelihatan UMNO memilih pendekatan berlainan.

“Ternyata ahli-ahli UMNO yang selama ini menolak Anwar berada dalam dilema, apabila Zahid berpendirian sebaliknya, demi menyelamatkan kedudukannya yang terdesak.

“Ini adalah satu petanda buruk bagi Muafakat Nasional,” katanya.

Dengan krisis yang tidak berkesudahan, Ustaz Hazizi yakin jutaan orang Melayu melihat perkembangan ini dengan perasaan meluat.

“Sehubungan itu BERJASA menawarkan kepada mereka yang ikhlas, jujur dan setia kepada agama, bangsa dan negara, serta mempunyai kompetensi untuk memimpin, agar bersama BERJASA demi menyelamatkan umat yang diperkotak-katikkan oleh pemimpin politik yang tamak selama ini,” katanya.

Sebelum ini Anwar mendakwa, mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Dakwanya lagi, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun tidak mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Presiden PKR itu berkata, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-