Thursday, September 24, 2020

Keputusan PRN Sabah akan tentukan bila Parlimen akan dibubarkan

Oleh MALASIA DATELINE
September 24, 2020


Keputusan bila Parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya ke 15 akan ditentukan Sabtu, 26 September ini apabila keputusan pilihan raya umum negeri Sabah akan diketahui.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya pagi ini berkata, notis sidang Dewan Rakyat untuk membahaskan Belanjawan Negara untuk 2021 telah dikeluarkan.

“Notis telah keluar untuk Sidang Belanjawan selama 27 hari akan bermula dari 2 November hingga 15 Disember 2020.

“Adakah sidang Parlimen kali ini akan berlangsung atau Parlimen akan dibubarkan sebelum atau selepas sidang belanjawan?

“Persoalan ini akan dijawab selepas Sabtu ini, bergantung kepada keputusan pilihan raya umum Sabah pada 26 September ini,” kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

2 PM SERENTAK

Menurut beliau juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dalam keadaan keliru samada beliau masih perdana menteri atau tidak.

Kata Muhyiddin di Kota Kinabalu malam tadi, “Sebahagian dari tuan puan mungkin mahu bertanya, adakah saya berdiri di sini sebagai perdana menteri.”

“Dia yakinkan orang ramai bahawa dia masih perdana menteri walaupun Anwar Ibrahim dalam sidang media tengahari semalam mengumumkan beliau mempunyai bilangan yang cukup untuk menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Tiba-tiba, Malaysia ada dua perdana menteri dalam satu masa, perdana menteri dalam pejabat Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan perdana menteri menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, PRU -15 akan diawalkan jika gabungan Barisan Nasional, Perikatan Nasional yang dinamakannya sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam pilihan raya Sabtu ini.

“Di peringkat nasional kita belum putuskan bila mahu adakan pilihan raya… tetapi di Sabah kalau kita sudah menang… kita cepat-cepatlah adakan pilihan raya di peringkat pusat.

“Apa yang penting PRN Sabah ini, adalah isyarat yang kita dapat diperolehi sama ada rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) atau rakyat mahu saya menjadi Perdana Menteri kerana kita mahu Malaysia bergerak maju ke hadapan dan kita mahu Malaysia berjaya.

“Salah satu cara untuk berjaya adalah terus bersama saya,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri dengan penduduk tempatan di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-