Diterbitkan: Sep 9, 2024 2:15 PM
Beberapa jam sebelum Naib Pengerusi DAP Teresa Kok membantah cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol, rakan sejawatannya dari MCA Wee Jeck Seng juga membuat perkara yang sama.
Bagi ahli Parlimen Tanjung Piai itu, dasar Jakim berkenaan akan menyusahkan perniagaan bukan Islam dan pada masa yang sama mendedahkan ketidakberkesanan pemimpin DAP dalam menjaga hak masyarakat bukan Islam.
Bagaimanapun, memandangkan kenyataan medianya pada 6 Sept, yang dikeluarkan sebelum Kok, hanya dalam bahasa Cina, media berbahasa Inggeris dan Melayu tidak menyerlahkannya, justeru dia terselamat daripada “serangan” yang diterima Kok.
Wee mengkritik kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dasar yang mencabuli kebebasan dan hak masyarakat bukan Islam.
Dia seterusnya mempersoalkan sama ada pemimpin DAP dalam kabinet ada mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan masyarakat bukan Islam.

“Sama ada untuk memohon pensijilan halal atau tidak harus merupakan keputusan yang dibuat oleh perniagaan berdasarkan permintaan pasaran dan pertimbangan komersial mereka.
“Kerajaan tidak sepatutnya mengenakan syarat ini, lebih-lebih lagi restoran dan syarikat ini bukan untuk memenuhi keperluan pengguna Islam,” katanya.
Kedua-dua Wee dan Kok mengulas cadangan Jakim untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.

Bagi Kok, tindakan itu akan mengundang cemuhan antarabangsa, Wee pula berhujah bahawa dasar sedemikian akan menghalang pembangunan pelbagai pasaran dan memberi kesan kepada imej antarabangsa negara.
Katanya, dasar itu juga boleh diperluaskan kepada restoran sayuran (vegetarian), dewan makan agama Buddha, dan juga kedai makanan kesihatan, yang pelanggan utamanya terdiri daripada bukan Islam. Ini, menjadikan pensijilan halal mandatori itu sebagai langkah yang tidak perlu.
Wee juga mengkritik proses pensijilan halal yang rumit dan memakan masa, yang akan meningkatkan kos operasi dan seterusnya memberi kesan kepada kebebasan perniagaan pengendali bukan Islam.
"Proses pensijilan yang menyukarkan semasa telah menyebabkan banyak perniagaan yang pening kepala, dengan sesetengahnya akhirnya berputus asa untuk memohon. Jika ini diwajibkan, akibatnya mungkin lebih teruk," katanya.
Wee juga memberi amaran bahawa jika kerajaan terus melaksanakan dasar berasaskan agama itu, ia boleh menjejaskan imej antarabangsa Malaysia, khususnya di kalangan pelancong dan pelabur asing.

Sehubungan itu, Wee menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kepentingan semua rakyat semasa menggubal dasar dan mengekalkan intipati Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya bagi memastikan keyakinan pelaburan domestik dan asing serta kestabilan sosial.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.