Thursday, November 19, 2020

Keputusan DBKL larang kedai runcit jual arak muktamad

By Wartawan MalaysiaGazette
- 19 November 2020

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di laman Twitter.

Kelmarin DBKL mengumumkan semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat tradisional Cina tidak dibenarkan menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional.

Menurut DBKL dalam Garis Panduan Lesen Minuman Keras, berkuat kuasa tarikh sama, tiada lagi lesen baharu minuman beralkohol yang memabukkan (LMK) dibenarkan diperbaharui untuk semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina.

Katanya, lesen pembaharuan hanya dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja.

“Jenis LMK dan premis yang dibenarkan adalah secara borong, gudang, stor, rumah kedai dan kompleks perdagangan.

“Selain itu, rumah awam kelas 1, rumah kedai, hotel, kompleks perdagangan. Untuk runcit pula melibatkan pasaraya, hypermarket dan kompleks perdagangan,” menurutnya.

Keputusan tersebut bagaimanapun dipersoalkan oleh beberapa pihak antaranya Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan yang juga ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Menurut Kok Wai, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon agar garis panduan baharu itu ditarik balik.

Katanya, peraturan baru itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Memetik laporan MalaysiaKini, katanya, peraturan baharu itu “anti-perniagaan” dan yang menjadi korban adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai. 

MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-