Thursday, November 19, 2020

Shahidan: Najib khianat rakyat jika tolak bajet

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 5:51 pm

PARLIMEN | Bekas perdana menteri Najib Razak akan mengkhianati rakyat sekiranya beliau menolak Belanjawan 2021, menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional, Shahidan Kassim.

"Saya nak beri tahu, sesiapa sahaja yang menolak bajet ini, termasuk kawan saya dari Pekan (Najib), tolak bajet, khianat rakyat, sebab rakyat menunggu...

"Kita tolak, kita menghina mereka, kita khianat mereka, saya nak beri tahu....

"Jangan buruk sangka kepada kami (MP PN), kalau kita tolak bererti kita tolak amanah rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Arau ketika membahaskan belanjawan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Shahidan ada yang mengatakan satu atau dua ahli parlimen PN tidak akan menyokong Belanjawan 2021, dengan kecurigaan terhadap pemimpin veteran dalam gabungan itu.

"Maka bajet ini tak lulus, kerajaan tumbang.

"Ini adalah satu syak wasangka dan kita mengaitkan orang-orang yang merupakan ahli politik veteran yang sebelum kita lahir lagi.

"Sebelum (MP) Lembah Pantai (Fahmi Fadzil) lahir mereka dah masuk politik, (MP) Pekan (Najib) masuk politik, (MP) Bagan Datuk (Ahmad Zahid Hamidi), (MP) Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah), masuk politik lebih awal lagi

"Tapi kita bersyak wasangka kononnya begini, sekali mereka sertai Barisan (Nasional), sekali barisan bersama PN, kita tetap bersama PN," katanya.
Jelas Shahidan, semua ahli parlimen Perikatan Nasional dan BN akan mengundi secara 'en bloc' untuk Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 26 November ini.

"Kita ada 112 kerusi, saya ucap takziah (MP) Gerik (allahyarham Hasbullah Osman), satu kerusi...

"Pembangkang pun kurang, (MP) Batu Sapi (mendiang Liew Vui Keong), dalam masa yang sama kita tahu bahawa bebas dan juga parti (MP) Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) masih belum buat keputusan," katanya.

Shahidan berkata beliau menyatakan dukungan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan akan mengundi menyokong Belanjawan 2021.

Katanya, jika pembangkang tidak mahu menyokong bajet maka mereka tidak perlu datang ke parlimen untuk pengundian.

Najib yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN ketika membahaskan belanjawan berkata BN akan menyokong bajet jika kerajaan bersetuju dengan 'syarat' untuk menyambung moratorium pinjaman dan membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-