Sunday, November 8, 2020

Kerajaan hadapi cabaran berat yakinkan rakyat ambil vaksin Covid-19

Adam Abu Bakar
freemalaysiatoday.com
-November 8, 2020 7:00 AM
Khairy Jamaluddin bimbang ada rakyat akan menolak program imunisasi Covid-19 yang akan dilancarkan tahun depan.

PETALING JAYA: Menteri Sains, Teknoloji dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, menegaskan keperluan kempen penerangan berkesan bagi memastikan vaksin Covid-19 tidak ditolak oleh rakyat apabila ia mula diberikan tahun depan.

Penegasan itu dibuat Khairy ekoran beberapa netizen meninggalkan komen di Facebook beliau menyatakan kesangsian terhadap vaksin Covid-19 dengan memberi pelbagai alasan.

Pengguna FB, Dash Nasaruddin, mendakwa vaksin Covid-19 “tidak menyakinkan keberkesanannya,” tanpa memberikan apa-apa bukti.

“Sekarang ini pun, ramai yang boleh sembuh jikalau tidak ada masalah kesihatan lain,” tambah beliau.

Dash menyatakan beliau tidak bersedia untuk disuntik dengan vaksin buatan China kerana “takut,” namun tidak mengulas lanjut.

Seorang lagi pengguna, Najeeha Jeeha, tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana yakin sistem imunnya mampu memberi perlindungan daripada jangkitan virus pembunuh itu.

“Sekarang peratus sembuh tinggi, jadi tak perlu vaksin,” tambah beliau.

Khairy bimbang komen-komen sedemikian memperlihatkan sentimen negatif yang lebih luas terhadap keperluan rakyat divaksin bagi melindungi mereka daripada Covid-19.

“(Komen-komen) ini menyerlahkan cabaran komunikasi besar yang bakal dihadapi apabila program imunisasi nasional (Covid-19) digerakkan,” kata beliau di Twitter.

Khairy sebelum ini mengumumkan Malaysia berada dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin daripada China.

Beliau berkata bekalan vaksin dijangka mula diperoleh pada suku pertama 2021 dengan petugas barisan hadapan disenaraikan sebagai kumpulan pertama diimunisasi.

Khairy yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19, berkata peruntukan sekurang-kurangnya RM3 bilion diperlukan tahun depan untuk mengimunisasi 70% daripada rakyat Malaysia.

Selain China, Malaysia juga sedang memuktamatkan rundingan mengenai pembangunan vaksin dengan beberapa negara lain.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan hampir 40,000 kes Covid-19 dengan 282 kematian manakala sebilangan besar negeri di letakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan virus pembunuh itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-