Showing posts with label vaksin. Show all posts
Showing posts with label vaksin. Show all posts

Thursday, January 13, 2022

Lepas nama dipetik, Tuan Ibrahim kongsi butiran vaksin Covid-19

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jan 13, 2022 5:40 PM
Dikemaskini: 7:21 PM

Selepas timbul pertikaian mengenai status vaksinnya, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi butiran vaksin Covid-19 yang diambilnya sebelum menunaikan umrah.

Dalam kenyataan di Facebook, Tuan Ibrahim berkata dia menerima vaksin dos pertama pada 24 Mac 2021 dan doa kedua iaitu vaksin Pfizer pada 14 April 2021 di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya.

Bagi dos penggalak pula kata timbalan presiden PAS itu, ia diterima jenis vaksin yang sama pada 2 November lalu di Pejabat Kesihatan Titiwangsa.

Perkembangan ini hadir selepas nama anggota Parlimen Kubang Kerian itu turut terheret dalam kontroversi melibatkan pendakwah bebas Abu Syafiq.

Abu Syafiq sebelum ini dikritik warganet selepas membuat pengakuan secara terbuka menjelaskan bahawa dia membawa jemaah yang tidak lengkap divaksinasi menunaikan umrah.

Dia kemudian tampil menjelaskan bahawa vaksin yang dimaksudkannya adalah vaksin Meningococcal Meningitis atau MM dan bukannya vaksin Covid-19.

Jelas Abu Syafiq, kerajaan Arab Saudi tidak lagi mewajibkan vaksin MM.

Abu Syafiq kemudian membidas menteri agama Idris Ahmad yang menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadapnya.

Katanya, selain dia, terdapat juga individu dalam kerajaan yang turut menunaikan ibadah umrah itu namun tidak mendapatkan vaksin MM, termasuk Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim dalam kenyataan hari ini tidak menyentuh mengenai vaksin MM.

Wednesday, November 24, 2021

Guru belum vaksin dakwa diasingkan dekat stor 'cleaner' sekolah

tuncarlos.com
November 23, 2021 - Isu Semasa


IPOH: Video seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang guru diasingkan oleh pihak sekolah di sebuah bilik simpanan stor tukang cuci kerana belum menerima vaksin Covid-19, tular dalam media sosial.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu tular dalam aplikasi TikTok selepas dimuat naik sejak semalam dan sehingga kini sudah mencecah 1.2 juta tontonan.

Dalam rakaman itu, individu yang mendakwa sebagai guru sebuah sekolah menengah di sini berkata, dia diasingkan pihak sekolah kerana belum menerima suntikan vaksin.

Berikutan itu, lelaki itu meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi pihak sekolah terhadapnya.

video:
Katanya, pada mulanya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani, namun, ditukarkan ke stor tukang cuci atas alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.

Jelasnya, bilik stor tukang cuci tersebut hanya mempunyai meja dan kipas, namun, tidak mempunyai kerusi serta palam (plug) untuk menggunakan komputer riba dan sebagainya.

“Dinding bilik diperbuat daripada zink, jadi saya masuk sekejap dan tidak tahan kerana sangat panas.

“Jadi, sekarang saya duduk dalam kereta ambil sedikit penghawa dingin sebab bilik itu terlalu panas dan tidak layak diduduki,” katanya dalam rakaman video itu.

Sementara itu, netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap video itu antaranya tindakan pihak sekolah itu bagi melindung pelajar dan guru yang sudah divaksin.

Ada juga yang menasihati guru itu supaya menerima vaksin demi keselamatan semua dan keselesaan guru tersebut.

Bagaimanapun, ruang komen berkenaan telah ditutup pemilik akaun terbabit setakat pukul 12 tengah hari tadi.

UTUSAN ONLINE

Friday, October 22, 2021

Tindakan tatatertib terhadap penjawat awam enggan divaksin

hmetro.com
BERNAMA

TAN Sri Mohd Zuki Ali menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19. FOTO Bernama

Labuan: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyeru kepada semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

Beliau berkata, tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.

"Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

"Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

"Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA," katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Membedai, dekat sini, hari ini.

Mohd Zuki berkata, selepas kesemua negeri beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.

"Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin.

"Penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara," katanya.

Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

JPA menerusi kenyataan akhbar sebelum ini memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN.

Disiarkan pada: Oktober 22, 2021 @ 2:47pm

Monday, October 18, 2021

PRN Melaka: Hanya pengundi lengkap vaksin boleh undi

FMT Reporters
-October 18, 2021 5:57 PM

DUN Melaka dibubarkan 4 Okt lalu, selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hanya pengundi yang lengkap divaksin akan dibenarkan mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh.

Katanya, SPR juga akan mencadangkan slot masa mengundi melalui sistem “seperti aplikasi MySejahtera”.

“Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan dalam aplikasi MySejahtera.

“Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.

“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu…kita ada masa lagi,” katanya dipetik Bernama.

Beliau menggalakkan pengundi keluar mengundi berdasarkan slot masa yang dicadangkan bagi mengelakkan terlalu ramai orang berkumpul di pusat mengundi pada satu-satu masa.

Katanya, garis panduan berkaitan wabak Covid-19 akan berpandukan pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan polis.

Beliau berkata, daftar pemilih yang digunakan terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis dan 106 pengundi tidak hadir (PTH) di luar negara.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 4 Okt lalu, selepas empat ADUN, iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

Monday, October 11, 2021

Rentas negeri tanpa vaksin lengkap akan dikompaun

ismaweb.net
zuhayati
11/10/2021

Rentas negeri tanpa vaksin lengkap akan dikompaun
Pemeriksaan secara rawak pastikan orang awam ikut SOP



BANGI, 4 Rabiulawal 1443H, Isnin – Individu yang belum lengkap vaksin berdepan dengan kompaun sekiranya dikesan melakukan rentas negeri.

Tindakan tegas itu akan diambil melalui pemeriksaan pasukan pemantau di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali.

“Polis juga akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, selain memastikan tiada individu belum menerima vaksin COVID-19 mengambil kesempatan.

“Tiada lagi amaran dan pihaknya akan lebih bertegas termasuk mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP.

“Pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan lakukan aktiviti rentas negeri,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, pemeriksaan secara rawak akan dilaksanakan di kawasan tumpuan awam di seluruh negara termasuk R&R dan pusat beli-belah.

Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.

“Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras.

“Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemeriksaan SOP tetap dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Perdana Menteri berkata, biarpun kerajaan memberi kebenaran untuk rentas negeri, ia tidak bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

45.65 juta dos diberi, 90.02 peratus dewasa lengkap vaksin

utusantv.com
Oleh Herman Hamid
-October 11, 2021

SEJAK dilancarkan pada 24 Februari lalu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya memberikan 45.65 juta dos vaksin setakat semalam.

Kejayaan itu membolehkan 90.02 peratus populasi dewasa lengkap divaksin manakala 94.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jummlah tersebut merangkumi 65.2 peratus populasi keseluruhan di Malaysia divaksin.

Berdasarkan statistik semalam, Sabah merekodkan peratusan terendah dengan 65.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.
Tiga lagi negeri turut berada di bawah angka 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin iaitu Kelantan (73.6 peratus), Kedah (79.5 peratus) dan Perak (79.8 peratus).

Statistik semalam juga menunjukkan 129,518 dos vaksin COVID-19 diberikan dengan 31,932 dos pertama manakala 97,586 dos lengkap.
Sabah merekodkan pemberian tertinggi dengan dengan 34,514 pemberian dos lengkap dan 4,414 dos pertama daripada dua dos,

Jumlah ini diikuti Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Friday, October 1, 2021

Ibu kepada pelajar rebah akui anak terlampau gementar

satuberita.my
By Admin
-October 1, 2021

Ulfa Amat Daris ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Dr. Noor Azmi Ghazali di Kampung Bukit Duyong, Melaka.
Semasa

Oleh RAHIMI MOHAMAD

IBU kepada pelajar yang rebah selepas pengambilan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang di Melaka mengakui anak bongsunya itu terlalu gementar ketika hadir menerima suntikan dos pertama, semalam.

Ulfa Amat Daris, 41, berkata, anaknya, Muhammad Azim Hassan, 13, sebenarnya hanya terlalu gemuruh ketika hadir menerima vaksin pada pukul 11 pagi itu sehingga menyebabkan dia longlai selepas disuntik dan bukannya berpunca daripada vaksin jenis Pfizer yang diterimanya.

“Jangan takut, vaksin tiada masalah malah tiga anak saya yang lain berumur 17, 19, dan 21 tahun juga sudah dapat vaksin masing-masing dan mereka semua baik sahaja cuma anak bongsu ini perasaan dia terlalu takut.

“Tolonglah jangan sebarkan cerita yang bukan-bukan, malah saya juga tidak sahu siapa yang merakamkan video berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan mengenai vaksin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Duyong, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rusdi Abd. Rahmad mengunjungi keluarga berkenaan.

Video memaparkan remaja itu longlai selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 tular sejak semalam sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Justeru, Ulfa berharap orang ramai segera menghentikan perkongsian video berkenaan yang hanya akan menjejaskan usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak dan remaja di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

“Saya kecewa bila sampai ke tahap mengatakan anak saya sudah meninggal, itu semua tidak betul sampai anak mengadu rasa malu. Tolonglah hentikan sebar perkara-perkara begini.

“Vaksin ni sebenarnya ikhtiar kita untuk pastikan anak dilindungi daripada virus, malah saya akan pastikan dia terima dos kedua yang dijadual pada 21 Oktober ini,” katanya. 

SB

Thursday, September 30, 2021

'Hanya makan sesudu nasi, tidur jam 2 pagi sebelum vaksin'

bharian.com
Nuraliawati Sabri  
bhnews@bh.com.my
September 30, 2021 @ 10:41pm

Tangkap layar dari video yang tular

MELAKA: Murid sekolah rendah yang didakwa secara tiba-tiba lemah selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 disahkan tidur lewat iaitu pada jam 2 pagi dan hanya makan sesudu nasi lemak sebelum divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang, di sini, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rusdi Abd Rahmad, berkata siasatan selepas kejadian mendapati murid lelaki berusia 12 tahun itu juga tidak berselera makan dan hadir secara 'walk in' bersama keluarganya ke PPV terbabit.

Katanya, ketika proses vaksinasi murid itu agak gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

"Murid ini juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sejarah alahan sebelum ini.

"Selepas dibawa masuk semula ke PPV dan pegawai perubatan melakukan pemeriksaan mendapati, keadaan murid ini stabil dengan tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darahnya adalah normal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini tular satu rakaman video menunjukkan seorang murid sekolah longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.

Dr Rusdi berkata, selepas pemerhatian tempoh 30 minit oleh petugas perubatan, murid berkenaan menunjukkan keadaan stabil, sebelum dia dibenarkan pulang.

"Malah, panggilan telefon susulan kepada keluarga juga dibuat dan mendapati murid itu sihat. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan memantau tahap kesihatan murid berkenaan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga yang akan membawa anak untuk vaksinasi dinasihatkan supaya memastikan anak mereka mendapat rehat yang secukupnya dan makan sebelum hadir ke PPV.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih," katanya.

Penjawat awam wajib ambil vaksin - JPA

bharian.com
Noor Atiqah Sulaiman 
bhnews@bh.com.my
September 30, 2021

Foto NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.

JPA dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

"Sekiranya penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

"Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993]," menurut kenyataan itu.

PU(A) 395/1993 memperuntukkan tujuh hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Kenyataan itu turut menjelaskan jumlah penjawat awam yang tidak mendapatkan vaksinasi adalah kecil dan berikutan itu JPA mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

"Ini juga selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Pada 21 September lalu, JPA dalam kenyataannya berkata pihaknya akan membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Jabatan itu memaklumkan, bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.

Bagaimanapun, Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berpendapat kos saringan berkala itu perlu ditanggung penjawat awam kerana kerajaan tidak patut dibebankan dengan perbelanjaan tambahan berkenaan.

Wednesday, September 29, 2021

Remaja meninggal selepas disuntik vaksin berita palsu

suaramerdeka.com
Home
29/9/2021
PENGARAH Kesihatan Negeri Sabah Dr. Rose Nani Mudin

PENGARAH Kesihatan Negeri Sabah Dr. Rose Nani Mudin menafikan dakwaan, seorang remaja meninggal dunia selepas disuntik vaksin Covid-19 di Lahad Datu.

Penafian itu dibuat berdasarkan sebuah video yang tular dan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung rakaman video tersebut.

Menjelas lebih lanjut, beliau berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Pejabat Kesihatan Lahad Datu menafikan berlaku kematian seperti didakwa.

“Perbuatan individu berkenaan boleh menimbulkan perasaan panik dan kebimbangan orang ramai terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan remaja yang bakal menerima suntikan vaksin,” katanya.

Beliau turut merayu kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya ataupun terpengaruh dengan dakwaan palsu serta tidak benar mengenai vaksin.

Berdasarkan pemantauan JKNS, katanya lagi, 80 peratus hingga 90 peratus pesakit di Unit Rawatan Rapi adalah individu yang belum divaksin.

Sehubungan itu, JKNS menyeru ibu bapa dan penjaga segera mendaftar remaja di bawah jagaan mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin demi perlindungan diri dan keluarga. 

SM

Sunday, September 19, 2021

Page saran KPM tawar VSS kepada guru tolak vaksin

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Sep 19, 2021 12:25 PM

Ketika negara berdepan krisis dan situasi yang belum pernah berlaku, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page), kerajaan wajar mengambil keputusan sukar semasa menguruskan guru yang menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah.

Justeru kata Pengerusi Page, Noor Azimah Abdul Rahim, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar memberi pertimbangan untuk menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) untuk guru-guru terbabit.

"Keputusan yang paling sukar perlu diambil dalam situasi pandemik yang sebelum ini belum pernah berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu di pihak guru pula kata Noor Azimah jika mereka memang sengaja enggan disuntik vaksin dan bukannya akibat kekangan kesihatan, berundur secara sukarela adalah langkah yang terbaik.

Atau, katanya, KPM perlu menasihati guru berkenaan agar bersara secara terhormat.

Noor Azimah berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Jidin, mengenai segelintir guru yang enggan divaksin dan bakal berdepan tindakan tatatertib.

Mohd Radzi baru-baru ini dilaporkan berkata lebih 2,500 guru memilih untuk tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ekoran daripada itu, Mohd Radzi berkata guru-guru yang enggan mengambil suntikan vaksin akan diasingkan daripada sesi pembelajaran di sekolah selain bakal diambil tindakan.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata pihaknya bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap guru-guru tersebut.

Mengulas lanjut, Noor Azimah berkata guru-guru terbabit sebenarnya tidak perlu bimbang dengan pilihan yang ada kerana selain sekolah, masih ada sumber mata pencarian lain yang menguntungkan buat mereka.

"Ada mata pencarian lain yang menguntungkan (lucrative), seperti memberi tuisyen secara dalam talian yang boleh diteroka," katanya.

Monday, July 5, 2021

Hishammuddin berjaya dapatkan lagi 1 juta dos vaksin Pfizer dari AS percuma

tuncarlos.com
July 04, 2021


CYBERJAYA: Menteri Luar, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien, berkata kerajaan Amerika Syarikat telah menyumbang 1 juta dos vaksin Pzifer kepada Malaysia.

Kata Hishammuddin menerusi catatan Facebooknya, sumbangan vaksin Pzifer yang diterima ini adalah percuma.

Ini adalah hasil setelah beliau mencadangkan agar kerajaan kurangkan birokrasi dalam menerima tawaran sumbangan vaksin dari negara-negara sahabat pada bulan lalu agar program vaksinisasi negara berjalan cepat bagi mencapai imuniti kelompok.

“Amerika Syarikat sumbang 1 juta dos vaksin Pfizer secara percuma kepada Malaysia yang mana ia bakal tiba di tanah air esok.

“Terima kasih kepada rakan sejawat saya, TYT Antony Blinken dan Kerajaan Amerika Syarikat atas sumbangan vaksin ini serta pelbagai lagi bentuk bantuan kepada Malaysia sejak pandemik #COVID19 melanda tahun lalu,” ujar beliau.

Disamping itu kata Hishammuddin lagi, beliau dan rakan sejawatnnya Antony Blinken akan terus berkongsi komitmen demi memastikan hubungan erat Malaysia Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat bersama khususnya di era pasca pandemik.

Terdahulu pada 2 Julai lepas, Malaysia juga telah menerima sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca secara percuma dari negara Jepun.

Sumbangan kemanusiaan ini adalah bukti keakraban antara kedua-dua negara Malaysia-Jepun.

Ujar Hishammuddin, beliau amat berterima kasih kepada rakan sejawatnya TYT Motegi Toshimitsu serta Kerajaan Jepun atas budi baik ini yang menyerlahkan keakraban persahabatan dan hubungan dua hala Malaysia

-Sarah.TV

Saturday, February 27, 2021

Pilihanraya boleh diadakan sekiranya separuh penduduk Malaysia sudah divaksin -Khairy

tuncarlos.com
February 27, 2021


KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin bersedia bagi pilihan raya umum akan datang jika ia mampu memberikan suntikan vaksin kepada separuh daripada 32 juta penduduknya.

Demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia merangkap Menteri yang bertanggungjawab bagi Program Imunisasi COVID-19 negara , Khairy Jamaluddin dalam satu wawancara eksklusif bersama media SIngapura iaitu Mediacorp.

"Jika jumlah kes merosot, dan anda sudah memberikan suntikan vaksin kepada 50 peratus hingga 6 peratus daripada jumlah penduduk. Keadaan berada dalam kawalan dan mungkin itulah masa yang tepat.

"Saya rasa jika kita menjalankan program imunisasi yang berkesan, adalah tidak mustahil untuk membayangkan pilihan raya mungkin akan diadakan sekitar tahun ini, dalam pertengahan atau hujung tahun ini," menurut Khairy seperti yang dipetik Mediacorp.

-Mediacorp

Thursday, February 25, 2021

Hari ke-2 terima vaksin: Saya sihat, tiada demam, kata Muhyiddin

FMT Reporters
-February 25, 2021 9:29 PM


PETALING JAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberi jaminan vaksin yang disuntik semalam ke atasnya selamat, malah beliau tiada demam atau rasa luar biasa selepas hari kedua disuntik.

“Hari kedua selepas semalam saya mendapat suntikan vaksin Covid-19 semuanya berjalan dengan baik.

“Ini adalah vaksin yang selamat,” katanya di Facebooknya selepas ramai pihak bertanya mengenai keadaannya selepas disuntik vaksin semalam.

Semalam, Muhyiddin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin selain Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan empat lagi warga kerja Kementerian Kesihatan.

Pelaksanaan program tiga fasa itu bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin dalam fasa pertama yang akan berlangsung sehingga April ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata vaksin yang diterimanya semalam juga disifatkan amat baik.

Beliau meminta supaya semua pihak memainkan peranan masing-masing menyokong usaha kerajaan dan negara untuk melandaikan Covid-19.

“Ini dengan cara ramai-ramai mendaftar untuk mendapatkan suntikan menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.

Wednesday, February 24, 2021

Muhyiddin terima suntikan dos pertama vaksin Covid-19

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-February 24, 2021 3:11 PM

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menerima suntikan pertama dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech melalui fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.

Beliau menerima suntikan vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 yang dilakukan oleh Ketua Jururawat Lina Ibrahim, tepat 2.42 petang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu.

Selain Muhyiddin, turut menerima sutikan vaksin ialah Dr Noor Hisham yang disuntik oleh Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9 Putrajaya, Mazirah Mokhtar.

Turut menerima suntikan hari ini, Pegawai Perubatan Dr Tan Yee Ling, Penolong Pegawai Perubatan Khairul Asraf Mohd Yasin, jururawat Sheilla Mellisa Sikin dan pemandu Clement M Francis.

Selepas menerima suntikan vaksin kesemua mereka termasuk perdana menteri perlu menjalani proses pemantauan untuk kesan sampingan selama 15 minit.

Susulan pemantauan itu, Muhyiddin bersama Dr Noor Hisham keluar dari pusat suntikan tanpa kesan sampingan.

Mereka kemudian perlu dipantau selamat dua minggu lagi untuk melihat kesan sampingan lain.

Terdahulu Muhyiddin tiba di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya jam 2.25 petang sebelum mendengar taklimat ringkas serta melalui lima stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal 26 Feb ini bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin dalam fasa pertama yang akan berlangsung sehingga April ini.

Ahad lalu, 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia dengan sebahagiannya diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor. Vaksin tersebut dibawa dari Singapura, hab pengagihan vaksin Covid-19 ke negara Asia Pasifik.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3% adalah petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7% anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, polis, Jabatan Sukarelawan, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Fasa kedua program dari April hingga Ogos melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kelainan upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Program ini menyasarkan untuk memberi imunisasi terhadap jangkitan Covid-19 kepada kira-kira 80% penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Friday, February 5, 2021

Vaksin percuma untuk 26.5 juta rakyat bermula hujung Februari

sarawakvoice.com
@news
-February 5, 2021


KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus penduduk Malaysia atau 26.5 juta individu menerima vaksin percuma pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung Februari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media khas semalam berkata, program imunisasi Covid-19 membabitkan tiga fasa.

Pada fasa pertama seramai 500,000 petugas barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan menerima suntikan.

Bagi fasa kedua pula, Muhyiddin berkata, vaksin diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 merangkumi warga emas dan golongan berpenyakit seperti sakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, termasuk golongan OKU.

“Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang berlangsung mulai April hingga Ogos 2021,” kata beliau.

Bagi fasa ketiga pula, baki penerima vaksin ialah golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei 2021 hingga Februari 2022.

Menurut Muhyiddin, peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa Perlu) 2021 digunakan untuk mengambil alih secara sementara dewan dan kemudahan lain bagi tujuan persediaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ini bermakna lebih 600 pusat simpanan dijadikan pusat vaksinasi di seluruh negara melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dan dewan orang ramai.

Wednesday, February 3, 2021

Pharmaniaga beri jaminan vaksin CoronaVac selamat, berkesan dan halal

Bernama
-February 2, 2021 11:01 PM

CoronaVac, vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi virus tidak aktif adalah kaedah paling berkesan dan terbukti sejak 40 tahun lalu. (Gambar AP)

SHAH ALAM: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) memberi jaminan vaksin Covid-19, CoronaVac keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), yang akan diterima rakyat negara ini adalah selamat, berkesan dan halal.

Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Pharmaniaga, Dr Badarulhisam Abdul Rahman, berkata vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi virus tidak aktif itu adalah kaedah paling berkesan dan terbukti sejak 40 tahun lalu.

“Kaedah sama juga digunakan untuk penghasilan vaksin penyakit berbahaya antaranya Polio dan Hepatitis A. Teknologi ini terbukti berkesan berbanding teknologi baharu lain yang belum diketahui risikonya,” katanya semasa membentangkan mengenai perkembangan vaksin berkenaan secara maya, hari ini.

Turut menyertai sesi pembentangan itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Bagaimanapun, Dr Badarulhisam berkata kekeliruan mengenai keberkesanan vaksin berkenaan timbul selepas kajian klinikal di dua negara menunjukkan Turki memperoleh skor 91.25 peratus manakala Brazil 50.38 peratus.

Jelas beliau, kajian di Turki boleh dilihat sebagai penanda aras tahap keberkesanan vaksin CoronaVac kerana ia dijalankan ke atas populasi awam melibatkan 13,000 individu berumur 18 tahun ke atas berbanding Brazil yang melaksanakannya terhadap 13,060 petugas kesihatan yang terdedah kepada virus Covid-19 setiap hari.

“Bagaimanapun, kajian di Turki hanya akan lengkap pada awal bulan ini. Namun kita percaya, tahap keberkesanannya akan melebihi 90 peratus iaitu melebihi piawaian 50 peratus ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk sesuatu vaksin didaftarkan,” katanya.

Tambah Dr Badarulhisam, melalui kajian klinikal itu juga, tiada kesan sampingan serius termasuk ‘Vaccine Enhance Disease’ dikesan selepas dua dos vaksin berkenaan diberikan kepada peserta dan majoritinya hanya mengalami tindak balas ringan.

Dalam pada itu, Zulkarnain pula berkata Pharmaniaga telah meneliti kandungan, formula serta kaedah vaksin berkenaan dihasilkan dan yakin ia adalah halal untuk digunakan sepertimana dinyatakan oleh Majlis Ulamak Indonesia.

Beliau turut menjangkakan vaksin CoronaVac akan memperoleh kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hujung bulan ini atau awal Mac sebelum diedarkan pada April.

“Mengikut perjanjian, Pharmaniaga akan membekalkan 12 juta dos vaksin ini. Dalam bulan pertama, kita akan bekalkan sejuta dos vaksin CoronaVac diikuti dua juta dos pada bulan seterusnya untuk diedarkan oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada Pharmaniaga mungkin menjual vaksin berkenaan kepada pihak swasta terutamanya industri bagi kegunaan pekerja asing mereka, Zulkarnain berkata perkara itu ada dibincangkan dengan kerajaan.

“Kita sedang berunding dengan kerajaan (untuk menjual CoronaVac) kerana selepas membekalkan 12 juta dos vaksin ini, Pharmaniaga masih mempunyai bekalan dua juta lagi dos. Namun, kerajaan telah meminta vaksin turut diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan ‘economic fronliner’ selain pekerja asing dan ekspatriat.

“Pharmaniaga juga sedang mengumpul maklumat mengenainya dan sejurus selesai, kita akan berunding bagaimana ia akan dijalankan. Namun, agihan vaksin untuk rakyat Malaysia adalah keutamaan kami ketika ini,” katanya.

Pada 12 Jan lepas, Pharmaniaga menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membekalkan 14 juta dos vaksin COVID-19 yang mana proses pembotolan dilakukan di kilang berteknologi tingginya di Puchong, Selangor.

Pada 26 Jan pula, Pharmaniaga menandatangani perjanjian untuk membekalkan 12 juta dos vaksin CoronaVac COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Saturday, January 30, 2021

Suntik vaksin kepada pemimpin negara dahulu

sarawakvoive.com
@komunikasi
-January 30, 2021


Dengan segala hormatnya kepada pihak Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Malaysia,

Berasaskan kebimbangan orang ramai, saya ingin mencadangkan agar suntikan vaksin (melawan covid19) ini dibuat terhadap pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan seperti Yang DiPertua Negeri, Perdana Menteri, Ketua Menteri/Menteri Besar, Menteri-Menteri, Ketua Setiausaha, Pengarah Jabatan dan semua yang berjawatan tinggi yang menerajui pimpinan pentadbiran negara/negeri sehingga ke peringkat kerajaan tempatan, bahagian, daerah dan kampung-kampung.

Mereka perlu dilindungi segera untuk membolehkan pentadbiran negara/negeri/jabatan/bahagian/daerah/kampung berjalan dengan lancar.

Selepas itu, rakyat biasa khususnya penjawat awam, pemilik perniagaan, pekerja swasta dan rakyat kawasan pedalaman akan diberi suntikan vaksin tersebut.

Rasionalnya ialah pentadbiran negara/negeri/jabatan perlu berjalan dengan lancar demi kelangsungan segala urusan pentadbiran, ekonomi dan sebagainya.

Apa yang saya perhatikan sekarang ialah rakyat kawasan pedalaman pula yang akan menerima suntikan vaksin ini terlebih dahulu daripada rakyat yang lain. Apakah rasionalnya?

Harap pihak Kerajaan menjelaskan kepada rakyat dengan segera iaitu sama ada suntikan vaksin ini diwajibkan semasa darurat atau pkp ini dan sebagainya.

Terima kasih.

Kenyataan oleh,
Roland Engan
Ketua Cabang
KEADILAN Baram

Sunday, January 17, 2021

'Selepas disuntik, mereka bukannya kebal'

MyMetro

FOTO HIASAN

Malaysia akan terima vaksin Covid-19 penghujung Februari ini dan ia membabitkan tiga fasa pengagihan.

Fasa pertama untuk petugas barisan hadapan, kedua untuk kumpulan berisiko tinggi dan fasa terakhir bagi orang awam berumur 18 tahun ke atas.

Putuskan rantai penularan Covid-19 dan hidup kembali normal. Adakah ia semudah itu?

Ikuti wawancara Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia DATUK DR ZAINAL ARIFFIN OMAR dengan wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengulas isu ini.

Ada pihak mengatakan Malaysia lambat menerima bekalan vaksin berbanding negara rantau Asia Tenggara lain?

Ini kenyataan yang tidak betul. Di Asia Tenggara, hanya Singapura dan Indonesia saja yang baru mendapatkan bekalan dan negara ketiga adalah Malaysia.

Pertama, Indonesia mendapat bekalan awal kerana republik terbabit bersetuju untuk dijadikan negara kajian vaksin yang dibuat oleh China.

Secara logiknya, jika mereka sudah menjadi negara ujian, pastinya mereka akan mendapat bekalan dahulu.

Keduanya ialah Singapura. Singapura mempunyai dana kewangan yang besar dan mereka sudah membuat tempahan lebih awal untuk perbekalan vaksin dan ini membabitkan urus niaga.

Malaysia pula menjadi negara ketiga dan akan memperoleh vaksin Februari ini, saya fikir kita tidak lambat dan masih negara yang terawal.

Hidup kembali normal seperti sebelum era Covid-19 selepas disuntik vaksin?

Vaksin bukan 'tiket pelepasan' untuk pandemik Covid-19 sebaliknya ia sekadar membantu seseorang itu supaya tahap kritikal jangkitan itu berkurang.

Untuk kembali kepada kehidupan normal sebelum munculnya Covid-19 ini, saya kira kita perlukan 12 hingga 24 bulan sebelum kehidupan kita kembali kepada normal.

Ia memang memakan tempoh yang lama kerana selepas seseorang itu disuntik vaksin, mereka bukannya kebal daripada virus itu sebaliknya mengurangkan tahap kritikal jangkitan saja.

Memang ada kemungkinan mereka akan dijangkiti semula, tetapi tahap serius jangkitan itu akan menurun.

Golongan ini ada dua kelompok. Satu yang memang hardcore anti vaksin, golongan ini kita tidak perlu buang masa memberi penerangan kerana mereka sudah mempunyai konsep pemikiran yang menolak.

Satu lagi kumpulan, mereka tidak tolak sebaliknya mahu mendapatkan maklumat jelas berhubung vaksin seperti mungkin kesan sampingannya, keberkesanannya dan mungkin mencari vaksin yang dikatakan halal.

Kelompok ini kita label sebagai kumpulan atas pagar yang mahu maklumat menyeluruh sebelum menerima vaksin.

Cuma kita harap agensi berkaitan dapat mengambil tindakan terhadap golongan anti vaksin yang sengaja menyebarkan fitnah.

Jika mereka datang untuk bertanya, tiada masalah, tetapi yang mencetuskan panik adalah, mereka mereka-reka cerita serta memfitnah, ini perlu diambil tindakan.

Adakah keperluan kita mewujudkan makmal pembangunan vaksin sendiri?

Ya, perkara ini menjadi satu kelebihan jika kita ada.

Mungkin makmal ini bukan untuk Covid-19 saja kerana kita tidak tahu apa yang bakal mendatang kelak.

Jadi, jika kita ada makmal pembangunan sendiri, ia satu kelebihan dan kita boleh hasilkan vaksin mengikut kaedah yang kita rasa terbaik.

Namun, mempunyai makmal kajian pembangunan ini memerlukan dana yang besar. Ini kerana proses kajian itu sendiri menelan belanja besar, tetapi ia berbaloi untuk kepakaran tempatan.

Peratus paling selamat untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam pengagihan vaksin dalam kalangan rakyat?

Jika kita mampu memberi vaksin kepada 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia, itu sudah cukup baik dan sememangnya ia ada dalam program vaksin yang sedang dirancang oleh kerajaan serta agensi berkaitan.

Kita memang tidak akan dapat mencapai 100 peratus vaksin memandangkan kita perlu singkirkan beberapa kategori, antaranya penduduk negara berumur 18 tahun ke bawah, memang tidak akan diberi vaksin.

Kita juga bersandarkan kepada fakta Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa 70 peratus sudah memadai untuk memutuskan rantaian serta mengurangkan risiko jangkitan pandemik ini.

Jika kita boleh capai peratusan melebihi 80, ia sudah amat baik untuk negara serta penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 7:00 AM

Monday, November 30, 2020

Vaksin percuma untuk rakyat

harakahdaily
November 30, 2020

Gambar sekadar ilustrasi

KERAJAAN akan sediakan vaksin secara percuma untuk rakyat. Setakat sasaran kerajaan adalah 70 peratus rakyat akan terima vaksin percuma tahun hadapan bermula sukuan pertama 2021. Pfizer akan bekalkan 12.8 dos, untuk 6.4 juta rakyat , ini 20 peratus dari rakyat (untuk Pfizer perlu 2 dos seorang untuk capai imuniti penuh jangka panjang).

Di Malaysia, keutamaan pemvaksinan diberikan dahulu kepada petugas barisan hadapan , frontliners seperti petugas kesihatan, anggota keselamatan, golongan berisiko seperti warga emas.

Sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat perlu divaksinkan bagi mencapai imuniti kelompok (herd immunity). Herd Immunity bermaksud baki 30 peratus bakal turut terlindung jika 70 peratus rakyat mempunyai perlindungan vaksin Covid-19. 30 peratus yang tidak akan divaksinkan adalah kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dan mereka yang mempunyai masalah sistem imun yang tidak sesuai menerima vaksin.

10 peratus akan dibekalkan melalui inisiatif COVAX. Baki 40 peratus kerajaan sedang berunding dengan pembekal seperti Sputnik V, Moderna, Astrazeneca dan lain lain.

Cuma Pfizer yg menyatakan komitmen boleh menghantar vaksin pada sukuan pertama 2021 setakat ini. Pembekal yg lain perlu menunggu sehingga sukuan ke empat.

Semua vaksin Covid-19 perlu diluluskan oleh badan kawal selia diiktiraf Bangsa-Bangsa Bersatu UN WHO seperti USFDA, EU FDA dan dinilai serta diluluskan pula oleh Agensi Kawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan NPRA, Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum digunakan untuk rakyat.

Kesemua 12 vaksin Covid-19 yg berada di fasa 3 ujian klinikal telah diuji setiap satunya antara 20,000 hingga 90,000 orang sukarelawan dipelbagai negara di seluruh dunia termasuk di rantau ASEAN. Tidak benar dakyah kononnya vaksin ini hanya diuji kepada monyet dan tikus. Kesemua calon vaksin Covid-19 yg dinilai oleh Malaysia mempunyai laporan keberkesanan 90 peratus ke atas.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu dalam aspek pencarian vaksin yg diharuskan menurut hukum syarak.

Setakat data yang kita ada, kesemua vaksin Covid-19 tidak mengandungi sel, kandungan yang berunsur porcine (babi) atau bovine (lembu).

Baki 30 peratus bagi rakyat yang memilih untuk mendapatkan sendiri suntikan vaksin di hospital swasta boleh memohon pengecualian cukai atas perbelanjaan berkenaan terhad RM1,000 seorang.

Dengan bermulanya proses vaksinasi di seluruh dunia mulai sukuan pertama 2021, kegiatan ekonomi dunia dan juga dalam negara dijangka mula pulih. Suntikan vaksin Covid-19 akan disyaratkan oleh kebanyakan negara bagi kawalan keluar masuk negara.

AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi
30 November 2020

 – HARAKAHDAILY
    30/11/2020

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-