Tuesday, December 15, 2020

Belanjawan 2021 lulus, Muhyiddin bertahan dengan majoriti tiga sokongan

Mohamad Fadli
-December 15, 2020 4:22 PM


KUALA LUMPUR: Laungan takbir dan pengkhianat bergema di Dewan Rakyat apabila Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tiga undi, sekali gus menamatkan cubaan pembangkang untuk menyingkir Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dibawa untuk undian belah bahagi di Dewan Rakyat petang tadi, di sebalik pertikaian yang ditimbulkan pembangkang mengenai keabsahan kerajaan sekarang.

Speaker Azhar Azizan Harun mengumumkan sebanyak 111 Ahli Parlimen menyokong RUU itu berbanding 108 tidak menyokong.

“Seorang tidak hadir,” katanya ketika mengumumkan hasil undian.

Lulusnya RUU ini disambut laungan takbir di blok pemerintah dan “pengkhianat” daripada blok pembangkang.

Daripada 222 wakil rakyat, Perikatan Nasional mempunyai 50 Ahli Parlimen, BN 42, Gabungan Parti Sarawak 18, dan Parti Bersatu Sabah 1.

Di pihak pembangkang, Pakatan Harapan mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan 8, kumpulan pro bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad 4, Parti Sarawak Bersatu 2, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu 1, dan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dua ahli Parlimen mengisytiharkan diri mereka bebas.

RUU dibentangkan untuk bacaan kali ketiga selepas semua peruntukan bagi 27 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa sejak 10 hari lalu.

Daripada jumlah tersebut, 18 peruntukan kementerian melepasi halangan pembangkang melalui undian suara dan 9 melalui belah bahagi.

Sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6% daripada KDNK diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, kenaikan sebanyak 4.3% daripada anggaran RM226.7 bilion pada 2020.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-