Thursday, January 14, 2021

PH terima jemputan sertai Jawatankuasa Khas Bebas kendali perjalanan darurat

bharian.com
Oleh Rohaniza Idris 
roha@bh.com.my
- Januari 14, 2021 @ 11:49am

Saifuddin Nasution Ismail.- Foto/NSTP

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) sudah menerima surat jemputan menyertai Jawatankuasa Khas Bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendali perjalanan darurat.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan surat jemputan itu diterima semalam oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, surat berkenaan hanya menjemput dan mohon pembangkang menamakan tiga calon.

"Terma dan syarat pelantikan serta bagaimana jawatankuasa itu bertindak tidak dinyatakan," katanya kepada BH ditanya laporan yang menyatakan Anwar menerima surat jemputan untuk mencalonkan wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Bebas berkenaan.

Dilaporkan surat itu dihantar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Perkara yang sama disahkan pejabat Takiyuddin yang mengakui surat dihantar kepada Anwar petang semalam.

Saifuddin menjelaskan PH akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai surat jemputan itu serta calon yang dirasakan sesuai untuk dinamakan.

"Kita akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat," katanya namun enggan mengulas sama ada diberikan tempoh untuk menjawab surat berkenaan.

Pada pengumuman khas darurat, Isnin lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, bagi menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-